Kota Kinabalu: Bunyi rengekan yang disangka kucing membawa kepada penemuan satu bayi lelaki yang dibuang di dalam tong sampah berhampiran pasaraya Bataras, Indah Permai, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, bayi cukup sifat yang dipercayai baru dilahirkan ditemui seorang lelaki berusia 30-an yang kebetulan melalui tempat pembuangan berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata, siasatan awal mendapati, seorang lelaki yang melintasi tempat pembuangan sampah berkenaan mendakwa terdengar bunyi rengekan yang disangka kucing.
Bagaimanapun katanya, ketika semakin menghampiri kawasan pembuangan sampah itu, bunyi itu semakin kuat sehingga menyebabkannya cuba mencari punca bunyi berkenaan.
“Lelaki terbabit yang terkejut melihat bayi itu terus menghubungi pusat panggilan kecemasan MERS 999 untuk melaporkan penemuan berkenaan.
“Polis terus dikerah ke lokasi penemuan untuk menjalankan siasatan dan bayi terbabit diserahkan kepada pasukan ambulans untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
George berkata, bayi itu kemudiannya dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas (HWKKS) untuk pemeriksaan dan rawatan.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi usaha mengesan suspek yang terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membuang bayi.
“Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes yang berkenaan untuk tampil memberi maklumat.
“Mereka yang mempunyai maklumat terhadap kes yang disiasat itu boleh menghubungi pegawai penyiasat iaitu Inspektor Ab Zumin di talian 0145521425,” katanya.
Tamat









