Oleh FARDY BUNGGA
RANAU: Kejadian aliran air deras akibat hujan lebat di Gunung Kinabalu menyebabkan situasi cemas kepada sekumpulan pendaki gunung, pagi semalam.
Kejadian kira-kira jam 6 pagi itu menyebabkan laluan sukar bukan saja dengan cuaca sejuk tetapi juga laluan menjadi licin dengan air deras turun dari puncak gunung.
Kejadian menyebabkan ekspedisi pendakian semakin mencabar dan berisiko tinggi sehingga dikhuatiri mengancam keselamatan pendaki.
Pegawai Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR), Feranideh Medi ketika dihubungi berkata, sebaik kejadian berlaku, hanya kira-kira 30 peratus daripada jumlah pendaki yang dibenarkan memulakan pendakian awal pagi berjaya tiba di puncak.
Katanya, pada awal pendakian, cuaca berada dalam keadaan baik dan sesuai untuk pendakian, oleh itu aluan di Sayat-Sayat dibuka seperti biasa.
“Namun, perubahan cuaca yang berlaku secara mendadak dengan hujan lebat dan angin kencang menyebabkan keadaan menjadi tidak selamat.
“Fenomena cuaca tidak menentu menyebabkan cabaran besar dalam aktiviti pendakian dan pihak berkuasa memberi amaran kepada semua pendaki supaya lebih berhati-hati, khususnya dalam musim peralihan cuaca,” katanya.
Sementara itu, pihak Taman-Taman Sabah (TTS) turut menasihatkan semua pendaki untuk mematuhi arahan keselamatan serta tidak meneruskan pendakian tanpa pengawasan.
Pendaki juga dinasihatkan membawa pakaian hujan dan kelengkapan asas keselamatan setiap kali mendaki.





