Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyeru gerakan koperasi di Sabah agar berani melaksanakan transformasi perniagaan dengan mempelbagaikan sumber pendapatan serta meneroka sektor baharu yang mampu memberi nilai tambah kepada anggota, komuniti dan ekonomi negeri.
Beliau berkata, dalam landskap ekonomi dan teknologi yang semakin kompetitif, koperasi tidak lagi boleh bergantung kepada model perniagaan tradisional semata-mata. Sebaliknya, koperasi perlu terus berinovasi bagi memastikan daya saing serta kelangsungan pertumbuhan.
Menurutnya, transformasi perniagaan akan membolehkan koperasi menembusi pasaran baharu, memenuhi keperluan anggota dan pelanggan, di samping memanfaatkan peluang ekonomi yang muncul selaras dengan perubahan semasa.
“Kerajaan Negeri amat menggalakkan koperasi untuk terus memperkukuh tadbir urus, memperluaskan bidang perniagaan dan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi yang inklusif serta mampan.
“Saya yakin gerakan koperasi akan terus relevan dan menjadi penyumbang penting kepada pembangunan negeri sekiranya sentiasa bersedia berubah mengikut keperluan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Ke-49 Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (Kopeks), di samping melancarkan akhbar komuniti Kinabalu Media di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, pada Khamis. Turut hadir Pengerusi Kopeks, Datuk Dr. Haji Saat Haji Ag. Damit.
Hajiji berkata, Kopeks wajar dijadikan contoh kerana berjaya melakukan transformasi daripada hanya menawarkan kemudahan kredit kepada pelbagai sektor strategik yang berpotensi tinggi, termasuk perkhidmatan Ar-Rahnu, kesihatan, pusat dialisis, projek perumahan, import dan eksport serta penerbitan akhbar komuniti.
Katanya, penerbitan Kinabalu Media membuktikan komitmen Kopeks dalam memperkukuh budaya ilmu serta menyediakan platform penyampaian maklumat yang sahih kepada masyarakat, sekali gus menjadi sumbangan penting kepada industri persuratkhabaran di Sabah.
“Dalam era media digital yang berkembang pesat, penerbitan bercetak masih mempunyai peranan penting dalam menyediakan laporan yang lebih mendalam, analisis berkualiti serta dokumentasi pelbagai isu semasa.
“Kerajaan Negeri melihat media sebagai rakan strategik dalam usaha membangunkan negeri dan memperkukuh perpaduan rakyat, termasuk menjayakan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0,” katanya.
Menyentuh penglibatan Kopeks dalam sektor kesihatan, Hajiji berkata langkah koperasi itu mengambil alih beberapa klinik swasta membolehkan ahli menikmati kemudahan rawatan pada kadar berpatutan, sekali gus membuktikan koperasi mampu memainkan peranan lebih besar dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Beliau turut menyambut baik perancangan Kopeks menubuhkan pusat dialisis memandangkan keperluan terhadap perkhidmatan itu semakin meningkat dengan jumlah pesakit buah pinggang di Sabah kini melebihi 2,000 orang.
Katanya, Kerajaan Negeri sebelum ini telah menyumbangkan 100 unit mesin hemodialisis bernilai RM4.5 juta kepada 23 hospital kerajaan dan dua klinik kesihatan di seluruh Sabah pada 2024 bagi meningkatkan akses rakyat kepada rawatan.
“Saya berharap pusat dialisis yang bakal diwujudkan nanti menawarkan caj yang berpatutan bagi membantu meringankan beban pesakit,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata langkah Kopeks meneroka bidang import dan eksport, khususnya ke Brunei Darussalam, merupakan strategi tepat bagi membuka peluang perdagangan rentas sempadan, memperluaskan pasaran produk tempatan serta memperkukuh jaringan kerjasama serantau.
Menurut beliau, usaha itu selaras dengan agenda Sabah Maju Jaya yang memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi yang inklusif, mampan dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat.
Sementara itu, Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Kopeks atas pencapaian keuntungan memberangsangkan bagi tahun 2025 serta kejayaan mengekalkan pembayaran dividen kepada anggota secara konsisten sejak 20 tahun lalu.
Beliau berkata, pencapaian itu mencerminkan kecekapan tadbir urus serta pengurusan kewangan koperasi, sekali gus memastikan manfaat terus dinikmati oleh anggotanya.
Pada masa sama, beliau menyeru lebih ramai penjawat awam, khususnya golongan muda, menyertai Kopeks bagi memperkukuh kedudukan koperasi itu sebagai model koperasi berjaya yang bukan sahaja membangunkan ekonomi anggotanya, malah turut menyumbang kepada kemajuan Sabah secara menyeluruh.

Hajiji diiringi Saat menyaksikan penyerahan Dana Pembiayaan Modal Pusingan berjumlah RM30 juta daripada Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad kepada Kopeks pada majlis itu.





-100x70.jpg)



