Oleh FARDY BUNGGA
PENAMPANG: Sepasang suami isteri ditahan selepas dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dadah jenis ganja dalam dua operasi berasingan sekitar Putatan dan Penampang, 4 Jun lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, suspek pertama berusia 41 tahun berjaya ditahan di tepi jalan di kawasan Putatan.
Katanya, hasil pemeriksaan, pasukan operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menemui lima paket plastik lutsinar berisi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja.
“Berat keseluruhan dadah yang berjaya dirampas daripada suspek lelaki terbabit adalah seberat 22.85 gram.
“Susulan tangkapan itu, polis menjalankan siasatan sebelum membawa kepada serbuan kedua di kawasan Lok Kawi,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, serbuan kedua berjaya menahan seorang wanita berusia 37 tahun yang juga isteri kepada suspek pertama.
Katanya, hasil pemeriksaan di lokasi menemui dan merampas 16 paket plastik lutsinar berisi bahan terlarang disyaki ganja.
“Semua ketulan mampat yang dirampas dianggarkan seberat 271.81 gram menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak 294.66 gram dan bernilai RM2,950.
“Polis turut berjaya merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pembungkusan dan pengedaran dadah berkenaan,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.
Katanya, bagi suspek pertama, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman tidak kurang dua tahun penjara dan tidak melebihi lima tahun serta sebatan tidak kurang tiga kali dan tidak melebihi sembilan kali.
Sehubungan itu, Erwansyah berkata, polis daerah Penampang akan terus mempergiatkan usaha membanteras aktiviti pengedaran dadah demi menjamin keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.
Katanya, orang ramai juga diseru agar yerus mengalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah dadah untuk tindakan penguatkuasaan.

DITAHAN …. Suspek wanita ditahan susulan daripada siasatan terhadap suspek pertama.

GANJA …. Polis turut merampas beberapa bungkusan dadah jenis ganja.





