Perpaduan rakyat berbilang kaum aset strategik Sabah – Matbali

SIPITANG: Perpaduan dalam kepelbagaian terus menjadi teras kekuatan Sabah, sekali gus berfungsi sebagai aset strategik yang perlu dipelihara bagi menjamin keharmonian dan kestabilan negeri ini.
Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah berkata, keunikan Sabah yang dihuni lebih 36 kumpulan etnik dengan latar agama berbeza bukanlah penghalang, sebaliknya menjadi pemangkin kepada pembinaan masyarakat yang inklusif dan bersatu.
Menurut beliau, budaya saling meraikan perayaan seperti Kaamatan, Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri mencerminkan nilai kebersamaan yang telah lama berakar dalam kehidupan rakyat Sabah.
“Keadaan ini memperlihatkan semangat kekeluargaan yang utuh serta menjadi asas kepada keharmonian antara kaum di negeri ini. Usaha memelihara perpaduan ini perlu diteruskan agar kekal relevan untuk generasi masa kini dan akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah Rumah Kraftangan Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah (PKLS) di sini. Turut hadir Presiden PKLS, Datuk Pengiran Lalung.
Dalam pada itu, Matbali yang juga Pengerusi Lembaga Koko Malaysia merakamkan penghargaan terhadap kepimpinan persatuan berkenaan yang disifatkan berwawasan serta berdaya saing dalam memartabatkan warisan budaya.
Katanya, kejayaan PKLS menubuhkan Pusat Kebudayaan Lundayeh Sabah serta menyediakan kemudahan inap desa membuktikan keupayaan organisasi berasaskan komuniti dalam menjana impak positif kepada pembangunan sosioekonomi setempat.
“Komitmen dan kesatuan dalam kalangan ahli persatuan ini wajar dijadikan penanda aras oleh organisasi lain untuk mencapai kejayaan yang mampan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh rakyat khususnya di Parlimen Sipitang untuk terus memperkukuh semangat perpaduan sebagai asas membina masa depan yang lebih progresif dan sejahtera.-Oleh JOHN TAMBANAN.

PECAH TANAH …. Matbali menyempurnakan majlis pecah tanah Rumah Kraftangan PKLS.