KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus memberikan dorongan, sokongan dan peruntukan bagi memperkasa pembangunan bahasa dan sastera di negeri ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, Kerajaan Negeri sentiasa bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam usaha mengangkat martabat bahasa, sastera, penulis dan sasterawan Sabah.
“Kerajaan Negeri sentiasa memberikan dorongan, sokongan dan termasuklah dana untuk pembangunan bahasa dan sastera di Sabah.
“Setiap tahun kita menyediakan peruntukan untuk membantu persatuan-persatuan dalam melaksanakan program mereka.
“Kita ada program yang kita namakan sebagai Sumbangsih Bahasa dan Sastera Sabah (SELASIH), yang mana SELASIH ini ialah peruntukan untuk melaksanakan program yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Sabah,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Malam Anugerah Pena Kinabalu (MAPENA), di sini.
Menurut Arifin, Kerajaan Negeri turut memberikan peruntukan bagi kegiatan sastera antaranya, Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara yang telah dianjurkan lebih 15 tahun di Membakut.
“Program berkenaan kini telah diambil alih oleh kerajaan sebagai acara rasmi dan menjadi wadah menghubungkan silaturahim melalui sastera dan bahasa dalam kalangan penggerak sastera dan bahasa negara-negara ASEAN.
“Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kerajaan kerana memberikan peruntukan khas untuk program Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara,” ujarnya.
Mengulas penganjuran MAPENA, beliau merakamkan syabas dan tahniah kepada DBP atas usaha memartabatkan sastera di Sabah.
Pada majlis berkenaan, turut diadakan Penyampaian Hadiah Sastera Sabah 2024/2025.
Seterusnya, penganugerahan Sastera Negeri Sabah Ke-5 kepada Datuk Jamdin Buyong yang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman.
Turut hadir, Timbalan Speaker DUN Sabah, Datuk Al Hambra Tun Juhar, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, Mohd Salahuddin Mohamed dan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Jennitah Noordin.

Tun Musa (dua dari kanan) menyerahkan cek cura kepada Jamdin (kiri).








