KOTA KINABALU: Keberanian pengarah teater Mastari Kanjabun mengarahkan pementasan ‘Tetamu’ dari Melbourne, Australia, menerusi panggilan video atau video call directing membuka ruang kepada satu pendekatan baharu dalam dunia pengarahan teater.
Mastari, yang pernah dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik pada 1995, 2000 dan 2009, mengambil pendekatan berbeza itu ketika mengarahkan ‘Tetamu’, produksi Badan Teater Sabah untuk Festival Teater Zon Sabah.
Mantan Presiden Majlis Teater Malaysia (TEMA), Ismail Kassan, menyifatkan kaedah berkenaan sebagai satu eksperimen yang berpotensi menjadi trend baharu dalam pengarahan teater moden.
Menurutnya, kaedah pengarahan jarak jauh mungkin menimbulkan sedikit cabaran terhadap mutu persembahan kerana ketiadaan sentuhan langsung antara pengarah dengan pelakon, namun perkembangan teknologi mampu mengatasi kekangan berkenaan.
“Dunia perubatan yang melibatkan nyawa pun kini sudah menggunakan teknik long distance operation procedure. Justeru, saya yakin masalah mutu dan konsolidasi persembahan melalui video call directing ini dapat diatasi seiring perkembangan masa,” katanya.
Ismail berkata perubahan kaedah pengarahan juga perlu disusuli dengan penghasilan skrip yang lebih sezaman, termasuk dari aspek jalan cerita, isu masyarakat, struktur plot, kaedah penceritaan, gaya lakonan dan istilah teater.
Katanya, penggunaan teknologi seperti skrin besar, hologram dan imej janaan komputer (CGI) juga berpotensi menjadi sebahagian daripada persembahan teater masa depan.
Beliau turut menggesa kementerian berkaitan menggalakkan penggunaan skrip baharu yang mengangkat isu semasa, selain mengadakan bengkel penulisan skrip di seluruh negeri.
Sementara itu, pengamat teater Laliman Ahmad menyifatkan ‘Tetamu’ sebagai karya sarat falsafah, namun berpendapat mesejnya memerlukan pendekatan yang lebih mudah untuk difahami penonton.
Katanya, aspek teknikal seperti pencahayaan yang agak gelap dan kekuatan vokal pelakon perlu diberi perhatian kerana kedua-duanya penting bagi memastikan dialog serta mesej persembahan disampaikan dengan berkesan.
Bagaimanapun, beliau memuji komitmen seluruh tenaga produksi, khususnya Mastari yang berani meneroka kaedah pengarahan menerusi video call dari luar negara.
Mastari pula berkata teknologi tidak semestinya menghilangkan jiwa sesebuah karya, sebaliknya boleh menjadi jambatan yang menghubungkan pengarah, pelakon dan tenaga produksi walaupun dipisahkan jarak dan lokasi.
“Mungkin hari ini ia dianggap sesuatu yang baharu, tetapi mungkin esok ia menjadi kebiasaan. Dunia teater sentiasa berkembang. Teater boleh mempertahankan akar tradisinya, tetapi cara kita berkarya boleh bergerak seiring zaman,” katanya.
Menurutnya, pendekatan itu berpotensi menjadi sebahagian daripada kaedah pengarahan pada masa depan, khususnya apabila generasi Z dan Alpha semakin aktif dalam dunia teater.
‘Tetamu’ menampilkan gabungan pelakon berpengalaman dan bakat baharu, antaranya Tasia Arlina Ismail, Faredah Ibrahim, Abdul Rashid Abdul Ghani, Ramli Ahmad, Abdul Jali Making dan Nordin Samark.
Mastari turut dibantu Erwan Azzaly Awang Taip sebagai penolong pengarah dan artistik. Erwan pernah dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik Sabah pada 2005 dan 2011 serta Sinografer Terbaik pada 2005, 2007, 2009 dan 2015.
Tenaga produksi lain terdiri daripada Jeliah Jamuan sebagai penerbit serta Mohd Shahril Izwan Mastari, Abdul Halim Banda, Isfar Hussin, Jamlizain Jamuan, Mohd Nazzir Jamuan, Siti Farhanah Abdul Halim, Mohd Faizal Ismail, Nur Sakirah Solehah Jimpol, Nazirah Pugut Abdullah, Mohd Shahrin Izman Mastari dan Mohd Jasni Yakub.
Pementasan ‘Tetamu’ turut disaksikan sejumlah tokoh seni dan budaya dari Sabah serta luar negeri, termasuk Marzuki Ali dan isteri dari Terengganu, Ismail Kassan dari Selangor, Datuk Haji Ismaily Bungsu, Osman Nasroh, Sasterawan Negeri Sukor Haji Usin serta penggiat seni dan budaya lain.

Pengarah: Mastari Kanjabun.

Bersejarah: Kehadiran tokoh seni dan budaya menyemarakkan lagi persembahan teater Tetamu.

GANDINGAN MANTAP: Tetamu membariskan gandingan pelakon berpengalaman dan bakat baharu.

MANTAP: Tasia dan Ramli memperkuatkan pementasan Tetamu.

PERLU TAFSIRAN: Antara babak penting dalam teater Tetamu.







