Oleh FARDY BUNGGA
KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan satu cubaan menyeludup keluar kira-kira 7,000 liter minyak diesel bersubsidi dalam operasi di Pulau Maliangin Kecil, di sini, kelmarin.
Dalam operasi berkenaan, semua bahan api bersubsidi berkenaan dikesan disimpan di dalam tangki yang sudah diubahsuai menggunakan bot pancing.
Dua lelaki berusia 47 dan 50 tahun yang berada di atas bot berkenaan turut ditahan untuk siasatan lanjut.
Pengarah Ibu Pejabat Maritim Zon Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar, berkata bertindak hasil maklumat risikan, pasukan operasi berjaya mengesan sebelum menahan bot berkenaan untuk pemeriksaan.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapat, bot berkenaan menggunakan tangki simpanan yang sudah diubah suai selain ruang kargo sedia ada untuk membawa minyak diesel bersubsidi.
“Jumlah keseluruhan diesel yang dirampas dianggarkan sebanyak 7,000 liter dengan nilai kira-kira RM33,000.
“Pemeriksaan lanjut turut mendapati dokumen pengenalan diri kedua-dua lelaki berkenaan diragui dan memerlukan pengesahan lanjut,” katanya dalam kenyataan, pada Ahad.
Menurutnya, kejayaan operasi itu adalah hasil maklumat risikan serta kecekapan anggota operasi mengesan taktik penyeludupan yang menggunakan pengubahsuaian struktur bot bagi menyembunyikan dan membawa muatan bahan api bersubsidi.
Menurutnya, Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan pemantauan di kawasan perairan Kudat bagi mengekang aktiviti penyeludupan serta memastikan laluan laut negara tidak dieksploitasi untuk kegiatan menyalahi undang-undang.
Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63.

Bot pancing yang dikendalikan dua lelaki ditahan selepas dikesan membawa kinyak diesel bersubsidi

Tangki ikan yang diubahsuai untuk menyimpan minyak diesel.







