GovTech mesti utamakan rakyat – Hajiji

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mahu agenda teknologi kerajaan (GovTech) memberi tumpuan kepada pengalaman rakyat (Citizen Experience) dan penyampaian perkhidmatan secara proaktif bagi memastikan urusan kerajaan lebih mudah, pantas dan mesra pengguna.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata falsafah GovTech perlu meletakkan rakyat sebagai paksi utama (people-centric design) dengan memanfaatkan teknologi supaya perkhidmatan kerajaan dapat disampaikan secara terus tanpa membebankan rakyat dengan kerenah birokrasi.
“Kerajaan tidak lagi menunggu rakyat datang mencari perkhidmatan, sebaliknya teknologi dimanfaatkan agar perkhidmatan kerajaan dapat sampai kepada rakyat secara terus, lancar dan mesra pengguna,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Perasmian Seminar Digital@Sabah Edisi Ke-18 dan Digital Tamu 2026 di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini.
Ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Hajiji berkata transformasi digital juga penting bagi meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan (Ease of Doing Business) di Sabah, sekali gus menarik pelaburan dan memacu pertumbuhan ekonomi negeri.
Bagaimanapun, katanya, teknologi canggih tidak memadai tanpa perubahan sikap dan minda dalam kalangan penjawat awam.
“Kecekapan, integriti dan empati penjawat awam adalah enjin utama yang memberi jiwa kepada teknologi demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata pemodenan sektor awam menerusi GovTech turut membolehkan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan memecahkan sistem kerja secara silo melalui integrasi data dan sistem.
Katanya, langkah itu penting bagi mewujudkan perkhidmatan kerajaan yang lebih pantas, mudah dan telus, selain merapatkan jurang sosioekonomi serta memastikan manfaat pembangunan digital turut dinikmati rakyat di luar bandar dan pedalaman.
Hajiji turut mengingatkan kebergantungan terhadap ekosistem digital perlu disusuli benteng keselamatan siber yang kukuh, termasuk perlindungan data peribadi rakyat.
Sementara itu, beliau berkata Program Digital Tamu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dan Persekutuan memperkasa ekosistem ekonomi digital tempatan, khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Digital Tamu menghimpunkan sehingga 30 pempamer, termasuk syarikat teknologi tempatan serta agensi sokongan seperti Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC).
“Saya amat berharap usahawan tempatan dapat memanfaatkan platform ini sepenuhnya demi kelestarian perniagaan mereka dalam era digital,” katanya.

Ceasar Mandela menyempurnakan gimik perasmian Seminar Digital@Sabah Edisi Ke-18 dan Digital Tamu 2026 di SICC, Selasa.