Gotong-Royong Mukim Tambalang: Semangat kebersamaan tidak luntur walau hujan

TUARAN: Semangat kebersamaan terus berkobar apabila Pejabat DUN Sulaman bersama Pusat Khidmat ADUN Dilantik menganjurkan Program Gotong-Royong Mukim Tambalang bermula jam 2.00 petang di kawasan hadapan simpang RTM Lama dan Kompleks Sukan Tuaran.
Program ini bertujuan membersihkan kayu tumbang serta pokok-pokok terbakar yang menghalang laluan jalan raya demi keselamatan pengguna.
Walaupun cuaca hujan turun membasahi bumi, ia tidak sedikit pun melemahkan semangat penduduk dan agensi yang hadir.
ADUN Dilantik, Datuk Kassim Haji Razali, menegaskan bahawa gotong-royong ini adalah bukti nyata perpaduan masyarakat.
“Hujan bukan penghalang, malah menjadi penyuntik semangat kita untuk berganding bahu demi keselamatan dan kesejahteraan bersama,” katanya.
Kehadiran pelbagai pihak termasuk RELA, Jabatan Pertahanan Awam, Sabah Electricity Berhad (SEB), Telekom Berhad, UPPM Sulaman, PIBG SK Tambalang, serta Majlis Daerah Tuaran (MDT) menyerlahkan komitmen bersama.
Mereka turut membawa peralatan dan mesin bagi menebang pokok besar yang menghalang laluan jalan raya.

Bersemangat … Kassim memegang gergaji untuk memulakan gotong royong Mukim Tambalang.