Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: International Technology & Commercial Centre (ITCC) Penampang terus memperkasa kemudahannya dengan menyediakan Dewan Perkahwinan, The Wedding Hall, bagi memenuhi permintaan terhadap ruang upacara perkahwinan yang lebih selesa dan luas.
Pengurus Besar ITCC Penampang, Benjamin Malakun, berkata idea mewujudkan dewan berkenaan tercetus susulan permohonan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Penampang supaya kemudahan upacara perkahwinan sedia ada dapat ditambah baik.
Katanya, hasil penelitian mendapati ruang sedia ada di dalam pejabat JPN adalah terhad dan kurang sesuai untuk menampung pasangan pengantin bersama keluarga serta tetamu dengan selesa.
“Daripada sekadar mengubah suai ruang sedia ada yang lebih kecil, pihak pengurusan memutuskan untuk mewujudkan sebuah dewan perkahwinan khusus di ITCC.
“Ia merupakan ruang yang lebih luas, selesa dan mempunyai suasana yang penuh bermaruah untuk pasangan melangsungkan perkahwinan serta meraikan detik penting itu bersama insan tersayang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pembukaan rasmi The Wedding Hall di ITCC Penampang, Rabu lalu.
Benjamin berkata, realisasi dewan berkenaan tidak mungkin tercapai tanpa visi, dedikasi dan kepimpinan Pengerusi Eksekutif ITCC-Penampang, Datuk Seri Panglima Clarence Malakun, yang terlibat secara langsung sejak peringkat idea, perancangan hingga pembinaan dan penyiapan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kontraktor pengubahsuaian, Thien Chen Wei, bersama pasukannya yang berjaya menyiapkan kerja dalam tempoh singkat.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan WSG, Datuk Susan Wong, menyambut baik pembukaan The Wedding Hall yang disifatkannya bukan sekadar menyediakan ruang selesa, malah menawarkan suasana menarik untuk pasangan pengantin dan keluarga.
Katanya, kemudahan itu juga memberi peluang kepada keluarga meluangkan masa menikmati kemudahan di kompleks beli-belah ITCC selepas urusan pendaftaran perkahwinan selesai.
Turut hadir Datin Seri Panglima Sylvia Malakun, Datin Seri Panglima Celestina Jinu, Datuk Joanna Kitingan dan Ketua Pejabat JPN Daerah Penampang, Christine Pamela Eyong.

PERASMIAN …. Sylvia Malakun (tengah) mengetuai tetamu khas wanita menyempurnakan majlis perasmian The Wedding Hall di ITCC Penampang.









