Hargai Nilai Keamanan, Keselamatan Demi Pembangunan Negara – Mohamad

PAPAR : Masyarakat perlu menghargai nilai keamanan dan keselamatan yang dikecapi demi pembangunan negara.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Mohamad Alamin berkata, nilai keamanan dan keselamatan yang dinikmati perlu dihargai dan dihayati seluruh masyarakat warganegara agar dapat memberi tumpuan dalam pembangunan negara.
“Dengan adanya keamanan dan keselamatan, sudah pasti kita dapat membangunkan negara dengan lebih berfokus dan tanpa merasa takut dan bimbang.
“Kita boleh usahakan lagi bermacam-macam bidang keusahawanan, koperasi dan rakyat boleh berniaga dengan senang hati tanpa ancaman-ancaman anasir luar.
“Program ini juga amat penting dalam kita menyampaikan maklumat keselamatan seperti menjauhi aktiviti jenayah dan pentingnya menjaga keselamatan dalam menjaga ketenteraman awam.
“Terima kasih Jabatan Penerangan Sabah dan rakan strategik yang terlibat dalam menjayakan program seumpama ini sekaligus memberikan kesedaran mengenai pentingnya nilai keamanan dan keselamatan yang selama ini dinikmati,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026, di Anjung Peranginan Seri Serbang, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, jelas Mohamad program itu juga dapat menunjukkan potensi kampung tersebut dalam sektor ekopelancongan sekaligus membantu menyebarluaskan perkhidmatan serta produk-produk kepada masyarakat luar.
“Tempat ini kita perlu tunjukkan lagi sebagai sebuah kampung yang mempunyai potensi besar dalam sektor ekopelancongan, produk-produk dan perkhidmatan yang ditawarkan, dapat dibantu untuk dihebahkan kepada masyarakat luar,” ujarnya.
Program tersebut dihadiri kira-kira 400 orang dan sebanyak 16 agensi rakan strategik turut mengambil bahagian dalam menyampaikan perkhidmatan masing-masing antaranya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Jualan Rahmah, Pejabat Kesihatan Daerah Papar, Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Perkeso, dan Petronas.-Penerangan

Mohamad (dua dari kanan) merasmikan Jualan Rahmah semasa program tersebut.