Dua pemandu lori ditahan selepas rakaman dashcam pemanduan berbahaya di Tawau tular

TAWAU: Dua pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan selepas rakaman kamera papan pemuka (dashcam) memaparkan aksi pemanduan berbahaya di Jalan Apas, laluan Semporna–Tawau, tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh, berkata polis menerima laporan berhubung rakaman yang tular di Facebook itu, yang menunjukkan dua lori dipercayai dipandu secara berbahaya.
Kejadian dipercayai berlaku pada 29 Ogos lalu kira-kira jam 3.52 petang ketika sebuah lori Isuzu dalam perjalanan dari Semporna ke Tawau. Siasatan awal mendapati sebuah lagi lori Isuzu dipercayai memotong beberapa kenderaan secara berbahaya sehingga hampir melanggar sebuah motosikal.
Rakaman berkenaan tular di media sosial pada 17 September lalu dan laporan polis dibuat pada jam 9.58 malam hari sama.
Susulan laporan itu, kedua-dua pemandu lori ditahan pada 17 September kira-kira jam 11.10 malam bagi membantu siasatan lanjut. Ujian saringan air kencing terhadap kedua-duanya didapati negatif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.
Polis turut berusaha mengenal pasti pemilik akaun Facebook yang memuat naik rakaman berkenaan bagi membantu siasatan.
Polis Daerah Tawau memandang serius kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya kerana perbuatan itu boleh mengancam nyawa serta keselamatan pengguna jalan raya lain.
Semua pengguna jalan raya, khususnya pemandu kenderaan berat, dinasihatkan mematuhi peraturan lalu lintas, mengamalkan pemanduan berhemah serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh membahayakan pengguna lain.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah, Sarjan Razlan Razan di talian 019-823 4484.

foto: ACP Rosdi Mat Jusoh.