Oleh FARDY BUNGGA
PENAMPANG: Seorang wanita ditahan selepas dipercayai menjalankan aktiviti penjualan air ketum dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Ulu Seberang, Putatan, 19 Jun lalu.
Dalam operasi jam 1 petang itu, pasukan polis berjaya merampas puluhan botol berisi air ketum dan dedaun dipercayai daun ketum.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dan pegawai menyerbu sebuah didiami wanita berusia 43 tahun terbabit.
Katanya, hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemui 30 botol plastik berisi cecair disyaki air ketum dan satu karung plastik yang mengandungi dedaun disyaki ketum.
“Semua barangan berkenaan terus dirampas untuk tindakan lanjut dan hasil rampasan dianggarkan bernilai RM975.
“Pihak polis turut menyita beberapa peralatan disyaki digunakan untuk memproses air ketum,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, Sammy memberi amaran keras dan tidak akan berkompromi dalam usaha membanteras kegiatan menyalahi undang-undang.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan jenayah dadah atau air ketum juga disarankan agar menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa untuk tindakan segera.

DITAHAN …. Wanita berusia 43 tahun terbabit ditahan bersama 30 botol air ketum dan daun ketum.





