KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Rusdin Riman, mengemukakan beberapa perkara penting untuk diberi perhatian agar Belanjawan 2026 benar-benar mampu memenuhi keperluan serta harapan rakyat di daerah Ranau.
Ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini, beliau berkata segala perancangan pembangunan perlu terus ditambah baik dan diperkasakan melalui pendekatan pembangunan mampan serta pelaksanaan yang lebih cekap dan berfokus.
Menurutnya, dengan pelaksanaan yang berkesan, Belanjawan 2026 diyakini mampu menjadi pemangkin kepada perubahan sebenar serta membawa Sabah ke arah pembangunan yang lebih seimbang, inklusif dan mampan, khususnya bagi daerah Ranau.
Rusdin berkata, antara keutamaan yang perlu diberi perhatian dalam Belanjawan 2026 ialah kerja-kerja menaik taraf jalan tidak berturap, penggantian jambatan usang serta peningkatan tahap perkhidmatan jalan negeri bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan secara lebih seimbang dan berkesan.
“Ranau merupakan antara daerah utama yang kaya dengan tarikan pelancongan, bukan sahaja di peringkat domestik malah antarabangsa. Namun, pelbagai isu asas yang melibatkan keperluan rakyat masih perlu ditangani dan diselesaikan secara menyeluruh,” katanya.
Beliau turut menekankan isu pengangkutan awam di daerah Ranau yang masih belum tersusun, terancang dan menyeluruh. Ketiadaan perkhidmatan bas pengantara, katanya, mewujudkan jurang mobiliti antara kawasan luar bandar dan pekan, sekali gus menjejaskan ketersampaian rakyat serta pergerakan pelancong.
“Sebagai kawasan tumpuan pelancongan, keperluan kepada sistem pengangkutan awam bersepadu bukan lagi satu pilihan dasar, sebaliknya merupakan keperluan berstruktur,” katanya.
Sehubungan itu, Rusdin berkata peruntukan pembangunan dalam Belanjawan 2026 wajar dimanfaatkan untuk membangunkan sistem pengangkutan awam luar bandar yang menyokong ketersambungan awal dan akhir, sekali gus mengukuhkan penyertaan ekonomi komuniti setempat.
Selain itu, beliau memaklumkan hampir 40 peratus laluan jalan di Ranau masih tidak berturap, di samping kewujudan jambatan kayu yang uzur serta tidak lagi memenuhi keperluan keselamatan dan fungsi semasa.
“Jalan raya dan jambatan merupakan pendaya kritikal yang menghubungkan kawasan luar bandar dengan pusat perkhidmatan serta ekonomi. Kelemahan prasarana ini secara langsung menjejaskan mobiliti rakyat dan pergerakan pelancong,” katanya.
Rusdin turut mencadangkan pembinaan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di laluan utama sebagai sebahagian daripada pembangunan berorientasikan pengangkutan. Menurutnya, kemudahan itu bukan sahaja menyokong pengguna jalan raya, malah berpotensi menjadi nod limpahan ekonomi yang merangsang keusahawanan tempatan.
“Pembinaan R&R yang dirancang secara strategik berupaya mengurangkan kesesakan trafik di pekan Ranau serta mewujudkan rantaian nilai tempatan melalui penyertaan penduduk setempat dalam sektor perkhidmatan, makanan dan pelancongan komuniti.
“Kawasan seperti Nunuk Ragang, Sagindai, Kilimu dan Monggis mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai hentian setempat strategik berimpak tinggi,” katanya.
Beliau berkata pembangunan Ranau juga perlu disokong oleh sistem tenaga dan keterhubungan digital yang mampan. Kajian potensi tenaga hidro serta cadangan penjanaan tenaga solar di Empangan Lohan Tailing disifatkan selari dengan agenda keselamatan tenaga dan pembangunan mampan negeri.
Selain itu, penyediaan akses WiFi komuniti di kawasan strategik luar bandar, katanya, merupakan pelaburan penting dalam rangkuman digital dan pembangunan modal insan, khususnya dalam bidang pendidikan, keusahawanan kecil dan penyampaian perkhidmatan awam.
“Pelaburan dalam tenaga bersih dan infrastruktur digital bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup rakyat, malah memperkukuh daya saing ekonomi luar bandar dalam jangka panjang,” katanya.
Rusdin turut berharap agar pembangunan Pekan Baru atau Pekan Kecil Paginatan dapat diteruskan dan disegerakan oleh pihak berkaitan.
“Mudah-mudahan impian rakyat Paginatan yang telah lama diidamkan dapat direalisasikan dan menjadi kenyataan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik peruntukan kepada Kementerian Kerja Raya dan Utiliti sebanyak RM1.122 bilion bagi Perbelanjaan Perbekalan serta RM534.28 juta bagi Perbelanjaan Pembangunan.
Menurutnya, peruntukan itu amat signifikan, khususnya untuk menangani masalah jalan raya rosak, meningkatkan akses kawasan luar bandar serta memperkukuh kestabilan bekalan air bersih, iaitu keperluan asas yang telah lama menjadi tuntutan rakyat di peringkat akar umbi.

Rusdin Riman







