KGKS gesa Kerajaan Sabah pertimbang BKK penjawat awam Persekutuan

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS) menyatakan sokongan terhadap pendirian dan gesaan Cuepacs Sabah supaya Kerajaan Negeri mempertimbangkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) kepada penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Sabah menerusi Belanjawan Negeri Sabah 2027.
Presiden KGKS, Murkam Hj Hussien, berkata kebajikan penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di negeri ini sewajarnya turut mendapat perhatian dan pertimbangan Kerajaan Negeri.
“Walaupun mereka berada di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan, sumbangan dan khidmat bakti mereka merupakan sebahagian daripada kekuatan jentera perkhidmatan awam yang menyokong pembangunan serta kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, dalam sektor pendidikan khususnya, guru-guru Persekutuan memainkan peranan penting dalam membangunkan modal insan, mendidik generasi masa hadapan serta memastikan akses kepada pendidikan dapat dinikmati seluruh lapisan masyarakat, termasuk penduduk di kawasan pedalaman Sabah.
Justeru, katanya, KGKS berpandangan pemberian bantuan khas kewangan itu bukan sekadar bantuan material, sebaliknya merupakan satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan penjawat awam Persekutuan yang turut mencurahkan tenaga, masa dan komitmen demi kemajuan negeri ini.
“KGKS ingin menegaskan bahawa kebajikan penjawat awam tidak seharusnya dinilai berdasarkan perbezaan skim perkhidmatan atau pihak yang membayar gaji semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira sumbangan mereka kepada masyarakat dan negeri tempat mereka berkhidmat,” katanya.
Sehubungan itu, Murkam menyeru Kerajaan Negeri Sabah, khususnya kepimpinan negeri dan pihak yang bertanggungjawab merangka Belanjawan Negeri Sabah 2027, supaya memberikan perhatian serius terhadap cadangan berkenaan serta mempertimbangkan peruntukan sewajarnya bagi merealisasikan pemberian BKK kepada penjawat awam Persekutuan di Sabah.
“Khidmat bakti kami untuk Sabah. Kebajikan kami juga wajar diberikan perhatian.
“KGKS percaya bahawa penghargaan terhadap penjawat awam merupakan pelaburan terhadap kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri,” katanya.
Sebelum ini, Kerajaan Sarawak mengumumkan pemberian BKK sebanyak RM700 kepada penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di negeri itu.

Murkam Hj Hussien