MARITIM MALAYSIA RAMPAS MINUMAN KERAS SELUDUP BERNILAI RM270,000

Oleh FARDY BUNGGA


LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas 600 karton minuman beralkohol pelbagai jenama bernilai RM270,000 dalam operasi di Sungai Melikai, Menumbok, semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 1.45 pagi itu, tiga lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan berjaya melarikan diri dengan meninggalkan bot kargo serta dua lori yang membawa minuman berkenaan.
Pengarah Maritim Zon Labuan, Kapten Maritim Izwanhadi Idros berkata, operasi itu dijalankan hasil maklumat risikan berhubung kegiatan membawa barangan disyaki tidak berkastam dari Wilayah Persekutuan Labuan ke tanah besar Sabah.
Katanya, bot operasi Penggalang 24 yang menjalankan rondaan mengesan sebuah bot kargo dinaiki tiga individu bergerak dari perairan Pulau Labuan menuju ke Menumbok.
“Pasukan operasi kemudian mengekori bot berkenaan sebelum mengesannya merapat di sebuah lokasi pendaratan yang disyaki tidak sah di Jeti Sungai Kampung Melikai.
“Serbuan di kawasan darat dilaksanakan dengan bantuan anggota pasukan bot, namun ketiga-tiga individu terbabit bertindak melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Izwanhadi berkata, usaha mengesan suspek bagaimanapun tidak berhasil berikutan keadaan cuaca serta bentuk muka bumi yang menyukarkan operasi.
Katanya, pemeriksaan di lokasi menemukan sebuah bot kargo yang membawa kira-kira 200 karton minuman beralkohol, manakala dua lori yang ditinggalkan turut membawa kira-kira 400 karton minuman beralkohol pelbagai jenama.
“Semua barang kes dirampas dan disita mengikut Akta Kastam 1967 sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Zon Labuan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut,” katanya.
Sehubungan itu, Izwanhadi berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan, khususnya membabitkan penghantaran barangan tidak berkastam melalui laluan laut.
Katanya, orang ramai, khususnya komuniti maritim, turut digesa menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan mencurigakan bagi membantu pihak berkuasa membanteras jenayah maritim.

Dua lori yang ditinggalkan di lokasi didapati membawa ratusan karton minuman keras yang disyaki tidak berkastam.