TUARAN: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas cuba melarikan diri dan bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan dengan anggota polis dalam operasi di Taman Telipok Ria, Telipok, di sini, semalam.
Suspek berusia 21 tahun itu ditahan menggunakan kekerasan minimum dalam Ops Gempur Khas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, suspek dikesan dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah pasar raya kira-kira jam 7.30 malam.
Katanya, ketika tindakan tangkapan dilakukan, suspek cuba melarikan diri dan bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan dengan anggota polis.
“Suspek akhirnya berjaya ditahan sebelum pemeriksaan terhadap beg galas hitam yang diserahkannya menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki syabu.
“Dadah berkenaan seberat 69.61 gram dianggarkan bernilai RM4,000,” katanya dalam kenyataan.
Alhusin berkata, sebuah telefon bimbit turut dirampas bagi membantu siasatan, manakala pemeriksaan lanjut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.
“Suspek bersama barang rampasan dibawa ke pejabat JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

TANGKAP …. Lokasi suspek bergelut dengan anggota polis ketika cuba melarikan diri dalam operasi di Taman Telipok Ria, Telipok, Tuaran.





