Berang ditegur, lelaki cederakan tiga mangsa ditahan

Oleh FARDY BUNGGA


PENAMPANG: Seorang lelaki ditahan selepas dilaporkan mencederakan tiga lelaki menggunakan objek tajam dalam kejadian di Kampung Muhibbah, Petagas, di sini, pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, pergaduhan antara mereka dikatakan tercetus selepas suspek berusia 37 tahun ditegur ekoran bunyi motosikalnya yang terlalu kuat.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, berdasarkan siasatan awal, pergaduhan melibatkan sekumpulan individu yang sedang berkumpul dan bermain karom di luar sebuah rumah.
Katanya, salah seorang mangsa kemudian menegur suspek ekoran bunyi motosikal yang terlalu kuat sehingga tercetus pertengkaran antara mereka.
“Tiga lelaki berusia antara 35 hingga 40 tahun dilaporkan mengalami kecederaan akibat penggunaan objek tajam.
“Semua mangsa kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Sammy berkata, susulan kejadian, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bersama Balai Polis Putatan berjaya menahan suspek di sebuah kampung di Putatan kira-kira jam 10 malam.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku secara spontan akibat salah faham dan ketidakpuasan hati suspek selepas ditegur berhubung bunyi motosikal.
“Setakat ini, tiada rekod perselisihan atau dendam terdahulu antara suspek dengan mangsa,” katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan termasuk mengambil keterangan beberapa saksi dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian bagi melengkapkan kertas siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwaan untuk tindakan selanjutnya.
“Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau memuat naik imej serta video kejadian yang boleh mengganggu siasatan dan menimbulkan kegusaran masyarakat,” katanya.

DITAHAN …. Suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.