Kemalangan Jalan Raya, Ibu Maut Anak Cedera

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA BELUD: Seorang wanita maut manakala dua anaknya cedera selepas kenderaan dinaiki bertembung dengan sebuah lori dalam kejadian di Jalan Kota Belud – Tuaran berhampiran Taman Nikmat, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 11.05 pagi itu, mangsa, Norasida Mayur, 42, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah selepas tersepit di dalam kenderaan.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Khairul Shah Peri berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa maut yang memandu Perodua Alza dikatakan bergerak dari arah Tuaran menuju Kota Belud.
Katanya, kenderaan mangsa yang turut dinaiki tiga anaknya berusia 15 hingga 18 tahun itu dipercayai hilang kawalan sehingga memasuki laluan bertentangan
“Sebuah lagi kenderaan jenis lori yang dilaporkan bergerak dari arah bertentangan dipercayai gagal mengelak dan terus bertembung dengan kenderaan mangsa.
“Akibat kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, dua lagi mangsa yang cedera terus dihantar ke Hospital Kota Belud untuk menerima rawatan, manakala seorang lagi mangsa berusia 17 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pemandu lori juga tidak mengalami kecederaan dan kini sudah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.
Khairul Shah berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta tampil menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud bagi membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Keadaan kenderaan mangsa yang remuk selepas bertembung dengan sebuah lori.