Oleh JOHN TAMBANAN
TUARAN: Muzium Mini Hakka yang baharu akan membantu memelihara dan mempromosikan warisan masyarakat Hakka yang kaya di Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Ini merupakan inisiatif yang amat penting dan tepat pada masanya. Muzium ini berpotensi menjadi pusat rujukan serta tempat penyimpanan khazanah sejarah dan budaya Hakka,” katanya.
Ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun, pada majlis perasmian bangunan baharu Persatuan Hakka Daerah Tuaran dan Muzium Mini Hakka.
Hajiji berkata, muzium itu akan menempatkan artifak bersejarah, rakaman bahasa Hakka, sejarah serta pakaian tarian singa unicorn dan resipi warisan masyarakat berkenaan.
“Usaha ini bukan sekadar memelihara khazanah untuk generasi akan datang, tetapi juga menghubungkan warisan masa lalu dengan aspirasi masa depan,” katanya.
Beliau berkata, muzium itu akan memberi peluang kepada golongan muda dan para pengunjung untuk mempelajari sumbangan masyarakat Hakka terhadap sejarah dan identiti Sabah.
Katanya, kepelbagaian budaya merupakan khazanah yang perlu dipelihara.
“Perpaduan dalam kepelbagaian ialah kekuatan yang perlu kita pertahankan demi memastikan Sabah terus aman, harmoni dan makmur.”
Hajiji berkata, masyarakat Hakka memainkan peranan penting dalam pembangunan sosioekonomi Sabah sejak ketibaan mereka pada 1883.
Menurutnya, persatuan seperti Persatuan Hakka Daerah Tuaran bukan sahaja berperanan memelihara budaya dan identiti masyarakat, malah menjadi penghubung antara komuniti.
Beliau turut menggesa persatuan itu supaya memberi tumpuan kepada pembangunan golongan muda, aktiviti kebudayaan dan program kemasyarakatan.
Katanya, kerajaan negeri menghargai peranan organisasi masyarakat dan akan terus bekerjasama dengan pertubuhan berkenaan, sektor swasta serta rakyat bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
Beliau mengucapkan tahniah kepada persatuan itu sambil menyatakan keyakinan bahawa Muzium Mini Hakka akan menjadi satu lagi tarikan pelancongan baharu di Tuaran.

Ceasar bersama tetamu pada majlis perasmian bangunan baharu Persatuan Hakka Daerah Tuaran dan Muzium Mini Hakka.





