LABUAN: Sekolah Kebangsaan Pekan Satu (SKPS) menerima kunjungan 60 guru dari Sekolah Kebangsaan Melayu Pusat, Limbang, Sarawak dalam program lawatan penanda aras baru-baru ini.
Lawatan itu bertujuan memberi peluang kepada kedua-dua sekolah berkongsi pengalaman, pengetahuan dan amalan terbaik, khususnya dalam pengurusan serta pelaksanaan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Rombongan diketuai Guru Besar SK Melayu Pusat, Hayati Mohammad Amin dan disambut Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL), Basneh Jamilide; Guru Besar SK Pekan Satu, Anita Shyamini S. Azman serta barisan pentadbir dan warga PPKI sekolah berkenaan.
Antara pengisian utama program ialah tayangan montaj mengenai latar belakang, pencapaian dan aktiviti PPKI SK Pekan Satu yang memberi gambaran mengenai pengoperasian program pendidikan khas di sekolah itu.
Program turut disusuli sesi perkongsian amalan terbaik oleh dua guru PPKI, Chelwin Vester dan Nurul Atirah Abdul Fattah, yang membuka ruang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan serta pengalaman dalam melaksanakan program pendidikan khas.
Rombongan kemudian dibawa melawat kelas dan persekitaran PPKI sebelum sesi pertukaran cenderamata sebagai tanda penghargaan dan kenang-kenangan antara kedua-dua sekolah.
Anita Shyamini berkata lawatan berkenaan penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara sekolah, selain memberi peluang warga pendidik berkongsi pengalaman dan meningkatkan kualiti pelaksanaan program pendidikan khas.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rombongan SK Melayu Pusat kerana memilih SK Pekan Satu sebagai lokasi lawatan serta kepada warga PPKI dan semua pihak yang menjayakan program itu.
Beliau berharap jalinan kerjasama dan ukhuwah antara kedua-dua sekolah dapat diteruskan serta diperkukuh pada masa akan datang.

KENANGAN …. Warga PPKI SK Pekan Satu bergambar kenangan bersama rombongan Lawatan Penanda Aras SK Melayu Pusat, Limbang, Sarawak.







