Kebakaran musnah dua rumah, kedai runcit dan kenderaan di Tongod, warga emas cedera melecur

KINABATANGAN: Seorang wanita warga emas mengalami kecederaan melecur manakala dua buah rumah, sebuah kedai runcit serta beberapa kenderaan musnah dalam satu kebakaran di Kampung Bolot, Tongod, pada Rabu.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada jam 1.12 petang.
Bagaimanapun, disebabkan lokasi kejadian yang terpencil iaitu kira-kira 156 kilometer dari balai bomba terdekat, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan hanya tiba di lokasi selepas menempuh perjalanan lebih sejam, pada jam 2.20 petang.
Operasi pemadaman kebakaran bermula kira-kira 11 minit kemudian dan diketuai oleh Komander Operasi, PBK I Jasmani Osni.
Dalam kejadian itu, dua buah rumah kayu masing-masing berukuran 22×20 kaki dan 15×20 kaki, sebuah kedai runcit kayu berukuran 18×18 kaki, sebuah kereta, sebuah motosikal serta dua enjin bot dilaporkan musnah sepenuhnya.
Seorang wanita berusia 62 tahun mengalami kecederaan melecur pada bahagian lengan dan menerima rawatan awal di lokasi kejadian oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Operasi pemadaman dijalankan oleh anggota BBP Kinabatangan bersama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saguon Kuayup dengan menggunakan satu aliran hos sepanjang 600 kaki yang disambungkan ke pili bomba berhampiran.
Operasi turut dibantu oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Pasukan bomba mengesahkan kawasan kejadian selamat sepenuhnya sebelum operasi ditamatkan pada jam 4.31 petang. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.-Oleh JAMES LEONG

TERBAKAR …. Anggota bomba Kinabatangan memadamkan kebakaran di Kampung Bolot, Tongod, pada Rabu.