BN Tenom sedia galas amanah rakyat, serah keputusan kepada pucuk pimpinan

TENOM: Barisan Nasional (BN) Tenom bersedia memainkan peranan lebih besar dalam memperjuangkan kepentingan rakyat, termasuk menyertai pilihan raya umum akan datang sekiranya diberi mandat oleh pucuk pimpinan parti.
Pengerusi BN Tenom merangkap Setiausaha Politik kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Raime Unggi, berkata BN mempunyai kekuatan jentera, pengalaman serta sokongan akar umbi untuk terus berkhidmat kepada rakyat di kawasan itu.
“BN Tenom bukan sekadar mahu menjadi pemerhati. Kita mempunyai tanggungjawab dan komitmen untuk memastikan kepentingan rakyat terus terbela.
“Bagaimanapun, sebarang keputusan mengenai penyertaan BN di Tenom pada pilihan raya akan datang adalah tertakluk kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti menerusi rundingan dan persefahaman bersama,” katanya.
Dalam usaha memperkukuh kedudukan BN di Parlimen Tenom, Raime turut menyarankan supaya setiap parti komponen menyusun semula dan memperkemas struktur cawangan masing-masing bagi memantapkan organisasi serta memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan BN Tenom mempunyai jentera yang lebih tersusun, berkesan dan sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan politik.
“Apabila tiba masanya, BN Tenom bersedia menggalas amanah yang diberikan. Kita bukan sekadar mahu bersuara, tetapi mahu bekerja dan membuktikan kemampuan kepada rakyat,” tegasnya.

Raime Unggi ketika mempengerusikan mesyuarat BN Tenom.