Sabah sedia jadi jambatan kerjasama Malaysia-China

Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Sabah berada pada kedudukan strategik untuk menjadi jambatan penting dalam memperkukuh kerjasama Malaysia-China, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata hubungan Sabah-China adalah sebahagian penting daripada kerjasama lebih luas antara Malaysia dan China, malah hubungan kedua-dua pihak sudah terjalin sejak berabad-abad lalu menerusi laluan perdagangan maritim.
“Hubungan ini membolehkan pertukaran barangan, idea, budaya dan masyarakat, sekali gus mewujudkan ikatan yang kekal bermakna sehingga hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Resepsi Sempena Ulang Tahun Ke-77 Penubuhan Republik Rakyat China di Magellan Sutera Resort, di sini, malam Selasa. Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.
Hajiji berkata kedudukan geografi, potensi ekonomi, kekayaan sumber serta hubungan rakyat dengan rakyat menjadikan Sabah platform kukuh untuk penglibatan perusahaan dan institusi China.
Katanya, perdagangan dan pelaburan kekal menjadi tonggak utama hubungan Sabah-China, meliputi sektor komoditi, pertanian, perikanan, pembuatan, pelancongan dan perkhidmatan.
“Sabah juga menawarkan peluang pelaburan besar dalam pelancongan, tenaga boleh baharu, pertanian, perikanan, logistik, perkhidmatan digital dan ekonomi biru,” katanya.
Beliau berkata kerjasama boleh diperluas melalui perkongsian kepakaran dalam pertanian pintar, pemuliharaan marin, tenaga bersih dan akuakultur, selain pelancongan menerusi peningkatan kesalinghubungan udara serta pemasaran digital.
Menurutnya, pendidikan, kebudayaan, pertukaran pelajar, penyelidikan, biasiswa, belia serta sains dan teknologi turut berpotensi diperkasa.
“Sabah bersedia dan berhasrat untuk menjadi platform penting bagi kerjasama Malaysia-China,” katanya.

POTONG KEK …. Joachim (lima dari kanan), Masidi Manjun (empat dari kiri) dan Konsul Jeneral China, Dr Zhu Xinglong (lima dari kiri), bersama menteri Kabinet Negeri serta dif kenamaan pada majlis memotong kek.