7KM Fun Run tingkat kesedaran penyakit kanser

Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA MARUDU: Lebih ramai masyarakat diseru untuk menjalani saringan awal kanser sebagai langkah penting dalam pengesanan dan rawatan awal menerusi penganjuran program 7KM Fun Run Cancer Awareness yang berlangsung di sini.
Program bertemakan ‘Lari Bersama, Cegah Bersama, Menang Bersama!’ itu dianjurkan oleh Jabatan Pembedahan Am Hospital Kota Marudu dengan kerjasama Sabah Surgical Society bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan saringan awal kanser kolorektal, kanser payudara dan kanser tiroid.
Penganjur berkata, program berkenaan bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat melalui aktiviti larian, malah bertujuan mendidik masyarakat mengenai bahaya kanser serta kepentingan pengesanan awal bagi meningkatkan peluang rawatan yang lebih berkesan.
Pengarah Hospital Kota Marudu, Dr. Lydiarita M. Marajin bertindak sebagai penasihat program, manakala pelaksanaannya diselaraskan oleh Pakar Pembedahan Am Hospital Kota Marudu, Dr. Gilbert Peh Voon Yeow bersama Dr. Wan Muhammad Ghazi Wan Zawawi.
Jawatankuasa penganjur turut dibantu oleh setiausaha program, Jovinia Jaikol.
Program itu mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandau, Datuk Maijol Mahap serta beberapa penaja korporat dan komuniti.
Menurut jurucakap penganjur Jovinia berkata, kesedaran masyarakat terhadap kepentingan saringan awal masih perlu dipertingkatkan memandangkan ramai pesakit hanya mendapatkan rawatan selepas penyakit berada pada tahap yang lebih serius.
Sehubungan itu, penganjuran program seperti ini diharap dapat menjadi platform berkesan untuk menyampaikan mesej bahawa pencegahan dan pengesanan awal merupakan senjata terbaik dalam memerangi kanser. Perkhidmatan Endoskopi kini juga telah disediakan di Hospital Kota Marudu.
‘Lari Bersama, Cegah Bersama, Menang Bersama’ bukan sekadar slogan program, tetapi satu seruan kepada masyarakat untuk mengambil langkah proaktif menjaga kesihatan demi masa depan yang lebih berkualiti dan bebas daripada ancaman penyakit.

ALBUM …. Maijol Mahap (tengah duduk depan) bergambar bersama Dr. Lydiarita, Dr. Gilbert Peh dan Dr. Mohd Ghazi, Jovinia dan petugas dan sukarelawan yang menjayakan program tersebut.