PAITAN: Festival Makanan Mega Sabah 12.0 di Dewan KDCA Paitan bukan sekadar medan makanan dan jualan, malah menjadi platform memperkasa usahawan tempatan serta merancakkan ekonomi komuniti setempat.
Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Sabah, Datuk James Ratib, berkata penganjuran festival itu memberi peluang kepada usahawan dan peniaga memasarkan produk kepada lebih ramai pelanggan, selain merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan.
Menurutnya, Festival Makanan Mega Sabah atau ‘Mega Food Sabahan’ mempunyai daya tarikan tersendiri kerana setiap siri jelajah menghimpunkan puluhan vendor yang menawarkan pelbagai pilihan makanan, minuman dan barangan jualan menerusi reruai disediakan.
“Ini bukan sahaja memberikan peluang kepada peniaga memasarkan produk mereka, malah menyediakan hiburan dan aktiviti santai yang dapat dinikmati masyarakat,” katanya ketika merasmikan Festival Makanan Mega Sabah 12.0 di Dewan KDCA Paitan, di sini.
Teks ucapan beliau disampaikan Setiausaha Politiknya, Justinus Jalang.
Festival itu turut dimeriahkan persembahan penyanyi terkenal, Lan Solo, yang menghiburkan pengunjung.
James berkata, pemilihan Paitan sebagai lokasi penganjuran memberi peluang kepada masyarakat di kawasan Paitan dan Sugut menikmati program berskala besar yang menghimpunkan pelbagai vendor, jualan dan aktiviti hiburan.
Katanya, program seumpama itu penting bagi memastikan masyarakat luar bandar turut mendapat akses kepada aktiviti yang mampu merancakkan sektor sosial dan ekonomi setempat.
Beliau berkata perkembangan teknologi digital turut membuka peluang lebih luas kepada peniaga mengembangkan perniagaan, khususnya menerusi media sosial dan platform dalam talian.
“Ramai usahawan kini menggunakan media sosial untuk mempromosikan produk dan membina pelanggan. Ini menunjukkan teknologi mampu menjadi pemangkin perkembangan perniagaan, khususnya dalam kalangan golongan muda,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat terus menyokong usahawan dan peniaga tempatan yang menyertai program seumpama itu sebagai tanda sokongan terhadap perkembangan sektor perniagaan dan ekonomi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penganjur, vendor, peniaga, penaja, sukarelawan dan semua pihak yang menjayakan festival berkenaan.
Menurutnya, sambutan masyarakat menunjukkan Festival Makanan Mega Sabah berpotensi berkembang sebagai acara tahunan yang dapat dibawa ke lebih banyak kawasan di Sabah.

Justinus (bertopi) bersama Lan Solo (empat dari kanan) pada Festival Makanan Mega Sabah 12.0 di Paitan.






