Warga emas ditahan, hidupan liar dilindungi dirampas

TAWAU: Seorang lelaki berusia 86 tahun ditahan dalam satu operasi bersama yang dijalankan oleh Unit Risikan Siasatan Khas (WCB) dan Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) di Kampung Kalumpang, Jalan Tawau–Semporna, semalam.
Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut merampas pelbagai produk hidupan liar yang disyaki dilindungi, termasuk daging rusa, kijang dan landak, selain seekor tenggiling hidup serta seekor monyet.
Operasi berkenaan dijalankan susulan risikan berkaitan aktiviti haram melibatkan hidupan liar di kawasan tersebut.
Pemeriksaan di rumah suspek menemukan barangan berkenaan disimpan di dalam sebuah peti sejuk.
Suspek kini disiasat mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 kerana memiliki hidupan liar dan produk hidupan liar tanpa dokumen atau permit yang sah.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda antara RM50,000 hingga RM250,000 serta hukuman penjara antara satu hingga lima tahun.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan menjual produk hidupan liar yang dilindungi secara haram kepada pelancong di Semporna.
JHLS menegaskan bahawa pemilikan, perdagangan dan penyimpanan hidupan liar dilindungi tanpa kebenaran merupakan kesalahan serius di bawah undang-undang.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pemburuan atau perdagangan hidupan liar secara haram diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha penguatkuasaan dan pemuliharaan hidupan liar.-Wu Vuide

DIRAMPAS …. Seekor tenggiling hidup yang dirampas dalam operasi di Kampung Kalumpang, Jalan Tawau–Semporna.