KOTA KINABALU: Perkasa Realty Sdn Bhd (PRSB) akan menyediakan terminal pengecasan kenderaan elektrik (EV) bagi setiap projek pembangunan baharu yang dilaksanakan di kawasan luar bandar Sabah.
Pengurus Besar PRSB, Mat Saidi Minting, berkata penyediaan terminal pengecasan EV itu merupakan antara komponen baharu yang dimasukkan dalam pelan pembangunan (DP) syarikat sebagai perancangan strategik jangka panjang bagi memenuhi keperluan masa depan.
Beliau berkata kemudahan berkenaan melengkapi komponen sedia ada, termasuk pembinaan stesen minyak mini bagi projek pembangunan PRSB.
“Kita dapat melihat trend penggunaan EV yang semakin berkembang, termasuk di Sabah. Justeru, pembinaan terminal pengecasan adalah satu keperluan, khususnya di kawasan luar bandar.
“Dengan adanya kemudahan ini, pengguna EV tidak perlu risau untuk melakukan perjalanan ke kawasan luar bandar,” katanya ketika ditemui wakil media pada sesi ramah mesra di pejabatnya di sini, baru-baru ini.
Menurut Mat Saidi, penyediaan terminal pengecasan EV akan menjadi nilai tambah kepada projek pembangunan baharu PRSB, selain berpotensi merangsang perkembangan industri lain di kawasan berkenaan.
“Sebagai perintis pembangunan nilai tambah ini, PRSB berbangga dapat menyediakan kemudahan terbaik kepada komuniti di kawasan luar bandar,” katanya.
PRSB ialah anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) yang bertanggungjawab membangunkan premis perniagaan Bumiputera di pekan baharu dan kawasan luar bandar.
Mat Saidi berkata setakat ini, PRSB telah membangunkan lebih 120 projek di seluruh Sabah, dengan jumlah penerima manfaat melebihi 1,500 individu dan syarikat Bumiputera.
Katanya, PRSB turut merintis pembangunan di kawasan terpencil, antaranya Paitan, Long Pasia dan Pulau Sebatik.
“Antara projek yang sedang dilaksanakan ialah di Tungku, Lahad Datu, Sook dan Kinabatangan, manakala projek di Pekan Telupid dan Merotai sedang dalam proses penyerahan kepada pembeli,” katanya.
Beliau berkata di Tongod, dua fasa projek telah dilaksanakan dengan fasa kedua baru sahaja disiapkan dan diperuntukkan kepada usahawan Bumiputera.
“Kita sedang giat mengenal pasti beberapa lagi kawasan baharu yang berpotensi untuk dibangunkan.
“Usaha ini akan dilaksanakan sama ada di atas tanah milik SEDCO, secara kolaborasi dengan agensi kerajaan seperti Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), atau menerusi usahasama dengan pemilik tanah persendirian,” katanya.

PENGHARGAAN MEDIA …. Mat Saidi (lima kanan), menyerahkan sumbangan jersi kepada beberapa wakil media ketika sesi ramah mesra di pejabatnya di Kota Kinabalu, baru-baru ini.






