Belanja Sabah 95.3 peratus, projek siap hanya 43 peratus

Oleh JOHN TAMBANAN


KUALA LUMPUR: Perbelanjaan pembangunan Sabah sudah mencapai 95.3 peratus, namun hanya 43 peratus atau 405 daripada 941 projek Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di negeri itu disiapkan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan pelaksanaan projek kerajaan.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, berkata keadaan itu perlu diberi perhatian kerana 411 projek atau 43.7 peratus masih dalam pelaksanaan, manakala 125 projek atau 13.3 peratus belum bermula atau masih dalam perancangan.
Ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2 Tahun 2026 di Dewan Rakyat, beliau mempersoalkan bagaimana hampir keseluruhan peruntukan boleh dibelanjakan sedangkan lebih separuh projek masih belum siap.
“Rakyat tidak menggunakan angka 95.3 peratus. Rakyat menggunakan jalan yang siap, sekolah yang selamat, klinik yang berfungsi serta bekalan air dan elektrik yang stabil,” katanya.
Madius berkata isu berkenaan tidak wajar dilihat daripada sudut kewangan semata-mata kerana kelewatan projek memberi kesan langsung kepada rakyat, khususnya membabitkan jalan raya, sekolah, kemudahan kesihatan serta bekalan air dan elektrik.
Beliau turut menegaskan Sijil Ketua Audit Negara Tanpa Teguran bukan bermaksud semua projek kerajaan sudah siap dan berfungsi kerana ia hanya mengesahkan kewajaran penyata kewangan.
Dalam perbahasan sama, Madius membangkitkan kewujudan projek lama yang masih tertangguh, termasuk 70 projek RMK9, 358 projek RMK10 dan 1,602 projek RMK11.
Katanya, kerajaan perlu menjelaskan punca kelewatan sama ada berkaitan isu tanah, reka bentuk, perolehan, peruntukan, kontraktor atau akauntabiliti.
Sehubungan itu, beliau mengemukakan lima tuntutan, termasuk pelaksanaan Sijil Kesiapsiagaan Projek enam bulan sebelum tender, penubuhan Dashboard Projek Awam dalam tempoh 90 hari serta semakan bebas bagi projek yang memohon lanjutan masa (EOT) kedua.
Beliau turut mencadangkan penubuhan Pasukan Penyelesaian Projek Warisan bagi menangani projek RMK9 hingga RMK11 yang tertangguh serta pelantikan pemilik akauntabiliti bagi setiap projek oleh kementerian pelaksana.
Madius juga mahu kerajaan membentangkan kepada Parlimen dalam tempoh 90 hari senarai lengkap projek RMK9 hingga RMK12 yang belum siap, termasuk status kontraktor, peningkatan kos, projek yang menerima dua EOT atau lebih, pegawai bertanggungjawab dan tarikh muktamad penyelesaian.
Katanya, projek bermasalah perlu mempunyai pelan pemulihan dalam tempoh enam bulan, manakala projek warisan perlu diselesaikan atau diputuskan statusnya dalam tempoh 24 bulan.
“Rakyat tidak mahu lagi janji tanpa tarikh, projek tanpa penyelesaian atau perbelanjaan tanpa hasil. Rakyat mahu kemudahan yang siap, berfungsi dan boleh digunakan,” katanya.

Madius Tangau