Penunggang motosikal maut, bertembung sebuah kenderaan Perodua Kancil.

Papar: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan, di kilometer 31, Jalan Lama Papar-Kota Kinabalu, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa yang berusia 20 tahun dilaporkan meninggal dunia serta merta di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, hasil siasatan awal, mangsa dipercayai sedang dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu ke Kampung Limauan, Kinarut.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun yang memandu Perodua Kancil berkenaan dikatakan membuat pusingan U secara tergesa-gesa.

“Perodua Kancil berkenaan dikatakan terus memasuki laluan mangsa dan terus bertembung motosikal mangsa.

“Penunggang motosikal terbabit disahkan meninggal dunia oleh pembantu pegawai perubatan Hospital Papar yang hadir membantu di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, semalam.

Kamaruddin berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Papar untuk tujuan proses bedah siasat.

Katanya, pemandu Perodua Kancil berkenaan tidak berada di lokasi kejadian selepas dibawa oleh anaknya untuk mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta berhampiran.

Katanya, atas nasihat doktor yang merawtnya, warga emas terbabit kemudiannya dirujuk ke Wad Kecemasan Hospital Papar selepas mengalami tekanan darah tinggi dan lemah jantung.

“Setakat ini, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Tamat