GRS komited selesaikan isu rakyat

Bukan sekadar retorik politik – Nizam

KOTA kINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus komited melaksanakan agenda pembangunan demi kepentingan rakyat Sabah.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Haji Nizam DSP Haji Abu Bakar Titingan menegaskan, Sabah memerlukan kepimpinan yang berani mengambil tindakan, bukan sekadar retorik politik setiap kali menjelang pilihan raya.
Beliau mengulas kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin yang mengkritik Kerajaan GRS kononnya gagal menyelesaikan masalah asas rakyat.
“Namun, kita tidak boleh menafikan bahawa banyak isu yang dibangkitkan hari ini adalah masalah yang telah berlarutan sejak sekian lama, termasuk ketika beliau sendiri berada dalam kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Nizam berkata, sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya Sabah dari September 2020 hingga Januari 2023, Bung Mokhtar berada dalam kedudukan yang cukup berkuasa untuk menangani isu-isu seperti jalan raya dan infrastruktur.
“Apa yang telah beliau lakukan dalam tempoh tersebut? Adakah masalah jalan berlubang, bekalan air, dan elektrik di Sabah baru wujud selepas GRS mengambil alih sepenuhnya?
Hakikatnya, Kerajaan GRS tidak pernah menafikan cabaran yang dihadapi Sabah, malah terus bekerja keras mencari penyelesaian jangka panjang,” katanya.
Nizam berkata, dalam isu bekalan elektrik, Kerajaan Sabah telah mengambil langkah serius dengan pembangunan projek hidroelektrik di Ulu Padas, Tenom, yang akan meningkatkan kapasiti tenaga di negeri ini secara mampan dan mengurangkan kebergantungan kepada loji janakuasa diesel.
Projek ini adalah sebahagian daripada perancangan kerajaan untuk memastikan kestabilan tenaga elektrik di Sabah dalam jangka panjang.
Bagi masalah bekalan air, katanya kerajaan juga sedang giat melaksanakan inisiatif seperti Projek Loji Rawatan Air Telibong II Fasa 2 di Tuaran serta penambahbaikan sistem paip dan tangki simpanan di beberapa daerah utama.
“Ini adalah antara usaha yang sedang berjalan bagi memastikan rakyat Sabah mendapat bekalan air yang lebih stabil, terutama di kawasan yang sering menghadapi gangguan,” katanya.
Katanya, dalam sektor infrastruktur, Kerajaan GRS juga sedang melaksanakan pelbagai projek naik taraf jalan raya, termasuk Lebuhraya Pan Borneo yang akan menghubungkan daerah-daerah utama di Sabah dengan lebih lancar.
“Selain itu, beberapa projek jalan luar bandar sedang dipercepatkan untuk memastikan akses yang lebih baik kepada penduduk pedalaman,” katanya.-JT

Nizam DSP Haji Abu Bakar Titingan