Curi motosikal: Kumpulan Awen tumpas

Oleh FARDY BUNGGA


PENAMPANG: Sekumpulan lelaki ditahan selepas dipercayai terlibat dalam sindiket curi motosikal yang dikenali sebagai ‘Kumpulan Awen’ dalam operasi khas yang dilaksakan, petang semalam.
Semua lelaki berusia 19 hingga 42 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar oleh Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Penampang.
Tangkapan pertama melibatkan lima lelaki yang disyaki terlibat dengan beberapa kes kecurian motosikal di sekitar daerah Penampang dan Putatan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton, berkata hasil soal siasat terhadap tangkapan awal itu membawa kepada penahanan tiga lagi individu di Kota Marudu.
Katanya, ketiga-tiga suspek dikenalpati bertindak sebagai pembeli kepada motosikal yang dicuri suspek awal.
“Secara keseluruhan, polis berjaya menahan lapan lelaki termasuk ketua kumpulan berusia 22 tahun.
“Empat daripada mereka didapati positif dadah jenis methamphetamine hasil ujian saringan air kencing,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, semasa operasi, polis turut merampas enam motosikal yang dipercayai dicuri iaitu dua Yamaha Y15Z, tiga Yamaha 135LC dan sebuah Yamaha 125Z dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM40,000.
“Dengan tertumpasnya kumpulan itu, pihak polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya enam kes curi motosikal,” katanya.
Sammy berkata, siasatan turut mendapati ketua kumpulan terbabit mempunyai 12 rekod jenayah lampau melibatkan kes curi motosikal dan dadah.
Manakala katanya, lima lagi ahli kumpulan turut mempunyai rekod jenayah sama.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
“Polis akan terus komited membanteras kegiatan jenayah di daerah ini. Orang ramai juga diminta menjadi mata dan telinga polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah,” katanya.

DITAHAN …. Kumpulan suspek ditahan bersama motosikal yang dipercayai hasil curi.