TAWAU: Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Haji Ismail menegaskan operasi membanteras kartel dadah di negara ini dijalankan secara terancang bagi mengelakkan sindiket tersebut menukar taktik.
Beliau berkata, penugasan polis bagi membanteras kegiatan dadah tidak perlu digembar-gemburkan dan kerjasama dengan rakan strategik serta negara lain sentiasa diteruskan.
Katanya, pendekatan terkini PDRM adalah mengekalkan operasi yang tidak diumumkan secara terbuka bagi memastikan kejayaan penugasan.
“Penugasan polis ini, sama seperti yang disebutkan oleh Tan Sri Razarudin Husain, sentiasa berjalan tanpa perlu kita digembar-gemburkan.
“Kerjasama dengan rakan strategik serta negara-negara berkaitan sentiasa diteruskan,” katanya pada sidang media dalam Majlis Perjumpaan Khas bersama warga PDRM sempena persiapan PRU DUN Sabah Ke-17 di sini, kelmarin.
Beliau berkata, melalui kerjasama erat dengan pihak berkuasa antarabangsa, termasuk Australian Federal Police, banyak kes membabitkan penyeludupan dan pengedaran dadah berjaya dibanteras di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Seperti yang diumumkan dalam kenyataan media saya baru-baru ini, ini antara kejayaan yang telah dicapai,” katanya.
Ditanya mengenai jumlah kartel dadah yang aktif di negara ini, Mohd Khalid enggan mendedahkan angka sebenar.
“Kita tidak dapat mendedahkan kartel berkenaan, tetapi operasi dan tangkapan dijalankan dari semasa ke semasa.
“Pihak narkotik akan mengumumkan kejayaan membanteras kegiatan jenayah dadah di seluruh negara pada waktu yang sesuai,” katanya.

SIDANG MEDIA …. Mohd Khalid ketika mengadakan sidang media berkenaan.




