Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Dewan Perniagaan Malaysia-China Cawangan Sabah (MCCC Sabah) komited untuk terus berperanan sebagai jambatan penghubung utama dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Sabah, Malaysia dan China.
Presidennya, Datuk Dexter Lau berkata, sepanjang penubuhannya, MCCC Sabah telah berjaya membina hubungan kukuh serta kerjasama meluas dengan kerajaan China, pihak berkuasa wilayah dan bandar, persekutuan industri, persatuan perniagaan, perusahaan serta pelbagai agensi kerajaan di Malaysia dan Sabah.
Beliau berkata, MCCC Sabah kini berkembang sebagai platform utama dalam memperkukuh kerjasama strategik Malaysia-China.
“Kami berbangga menjadi antara kontak utama bagi syarikat-syarikat dari China yang ingin meneroka peluang pelaburan di Sabah dan Malaysia Timur, selain menjadi rakan strategik kepada syarikat tempatan yang mahu menembusi pasaran China,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis makan malam rangkaian sempena kunjungan delegasi Persekutuan Perindustrian dan Perdagangan Dalian, China, di sini, pada Sabtu.
Menurut Dexter, MCCC Sabah sentiasa menyokong kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, perniagaan, hubungan kerajaan, pendidikan, kebudayaan, pelancongan, teknologi dan pembangunan belia.
Katanya, kehadiran wakil daripada pelbagai dewan perniagaan, persatuan, institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi menyambut delegasi Dalian membuktikan kesungguhan MCCC Sabah dalam memperkukuh hubungan Malaysia-China.
“Kehadiran begitu ramai tetamu kehormat bukan sahaja mencerminkan sambutan mesra, malah membuktikan keyakinan pelbagai pihak terhadap peranan MCCC Sabah dalam memperkukuh kerjasama antara Malaysia dan China.
“Ia juga menunjukkan keupayaan MCCC Sabah menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan, menyelaras sumber serta menjadi platform berkesan bagi mewujudkan kerjasama yang lebih bermakna. Kepercayaan bersama merupakan asas kepada setiap kerjasama yang berjaya,” katanya.
Beliau berkata, MCCC Sabah akan terus memainkan peranan sebagai jambatan yang membuka lebih banyak peluang kerjasama dan pengembangan perniagaan antara Sabah dan Dalian pada masa hadapan.
Delegasi Persekutuan Perindustrian dan Perdagangan Dalian diketuai Liu Yong selaku Pengerusi Dalian Kowa Foods Co., Ltd. Turut menganggotai delegasi ialah Pengerusi Dalian Shuiyifang Food Co., Ltd. (Sea Fortune), Zhou Jing; Pengarah Produk syarikat itu, Wang Peng; Pengurus, Guan Jian dan Tian Xiaoyang, serta Naib Pengerusi General Chamber of Entrepreneurs Liaoning, Fredrik Choi.
Turut hadir Presiden Kehormat MCCC Sabah, Datuk Lau Kok Sing.

PUPUK HUBUNGAN – Datuk Dexter Lau (tengah) bersama wakil delegasi Dalian bergambar kenangan dengan wakil pelbagai dewan perniagaan dan persatuan industri Sabah pada majlis makan malam rangkaian yang diadakan di Kota Kinabalu.






