Pemilihan Ketua Bahagian PBS Tambunan: Mampukah perwakilan bawa perubahan kepimpinan parti?

TAMBUNAN: Pemilihan Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Tambunan bagi sesi kali ini dijangka menjadi tumpuan apabila menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandang, Datuk Daniel Kinsik, dan pencabarnya, Dr. Rockey Jerome Budin.
Berdasarkan proses pencalonan yang telah selesai, Dr. Rockey menerima 46 pencalonan daripada ketua-ketua cawangan, manakala Daniel memperoleh 10 pencalonan bagi jawatan Ketua Bahagian PBS Tambunan.
Keputusan pencalonan itu dilihat mencerminkan kecenderungan sebahagian perwakilan dan ahli akar umbi yang mahukan pembaharuan dalam kepimpinan parti, bukan sahaja bagi jawatan ketua bahagian malah melibatkan barisan jawatankuasa bahagian secara keseluruhannya.
Dr. Rockey kini merupakan Ketua Pemuda PBS N.39 Tambunan, Naib Exco Pemuda PBS Pusat serta Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) N.39 Tambunan.
Untuk rekod, Daniel telah menerajui PBS Bahagian Tambunan sejak 2018 selepas mengambil alih kepimpinan daripada Tan Sri Joseph Pairin Kitingan susulan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Dari segi akademik, Dr. Rockey memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Politik daripada WMU, Ijazah Sarjana Pengurusan Pembinaan daripada AeU, Ijazah Sarjana Sains Politik daripada UTM serta Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Sains Politik daripada WMU.
Seorang ketua cawangan yang enggan dikenali berkata, PBS Tambunan memerlukan pendekatan kepimpinan yang lebih segar dan dinamik bagi mengembalikan kekuatan serta pengaruh parti selepas keputusan pilihan raya yang lalu.
Menurutnya, parti memerlukan pemimpin muda yang aktif, progresif dan berupaya membawa nafas baharu kepada perjuangan PBS di Tambunan, di samping memperkukuh semula kedudukan parti dalam arena politik tempatan.
“PBS perlu kembali menjadi wadah perjuangan utama masyarakat Tambunan serta berusaha mendapatkan semula kepercayaan rakyat bagi memimpin kerusi DUN Tambunan dan Parlimen Keningau pada masa hadapan,” katanya.
Seorang lagi ahli PBS yang turut enggan dikenali berharap para perwakilan membuat keputusan yang bijaksana dalam memilih pemimpin yang benar-benar mampu membawa perubahan, memperkukuh organisasi parti serta menjaga kebajikan ahli.
Beliau turut berpandangan bahawa sudah tiba masanya pemimpin daripada generasi muda diberi peluang menerajui parti bagi memastikan kesinambungan perjuangan PBS kekal relevan dengan kehendak semasa.
Pemilihan kali ini dilihat bukan sahaja menentukan individu yang bakal memimpin PBS Bahagian Tambunan, malah akan mencerminkan hala tuju serta pendekatan politik yang ingin dibawa parti pada masa hadapan.
Sama ada kepimpinan sedia ada dikekalkan atau mandat diberikan kepada generasi baharu, keputusannya kini terletak di tangan para perwakilan.
Ketua Bahagian PBS Tambunan yang baharu dijangka diketahui selepas Mesyuarat Agung Tahunan PBS Bahagian Tambunan yang akan berlangsung pada 4 Julai 2026 di Dewan Jonithy, Kampung Karanaan, Tambunan.
Mesyuarat itu dijadualkan dirasmikan oleh Tan Sri Joseph Pairin Kitingan selaku Penasihat Perdana PBS.

Datuk Daniel Kinsik.

Dr. Rockey Jerome Budin.