Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersetuju supaya sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Sabah (HPPNS) Peringkat Negeri 2026 diadakan di daerah, bukan hanya tertumpu di Kota Kinabalu.
Pendekatan itu dilihat dapat mendekatkan sambutan berkenaan dengan masyarakat setempat, selain memberi manfaat kepada petani, penternak, nelayan dan peniaga di daerah terbabit.
Persetujuan itu disampaikan ketika Hajiji menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Induk HPPNS 2026 yang diketuai Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri (MAFFI), Datuk Ruslan Muharam, yang juga Timbalan Pengerusi jawatankuasa berkenaan, di Menara Kinabalu.
Turut hadir Setiausaha Tetap MAFFI, Datuk Ts Haji Jifrin Haji Mohamad serta ahli Jawatankuasa Induk HPPNS 2026.
Ruslan berkata, Hajiji dijemput merasmikan sambutan HPPNS 2026 yang dijadual berlangsung di Tenom dari 23 hingga 25 Oktober ini, dengan majlis perasmian pada 24 Oktober.
Katanya, sambutan berkenaan dijangka menarik kira-kira 20,000 pengunjung.
“Ketua Menteri amat bersetuju supaya sambutan HPPNS dibawa ke daerah kerana pendekatan ini memberi peluang kepada peniaga setempat, selain memudahkan petani, penternak dan nelayan membawa hasil mereka untuk dipamerkan serta dipasarkan,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran HPPNS di daerah turut membolehkan masyarakat setempat berkunjung ke pesta berkenaan, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi dan perniagaan di kawasan terbabit.
Menurutnya, penganjuran di Tenom juga membuka ruang untuk sambutan HPPNS diadakan secara bergilir di daerah lain pada masa akan datang, selain Kota Kinabalu.
Katanya, sambutan itu turut menjadi platform memberi pengiktirafan menerusi pelbagai anugerah kepada usahawan tani, penternak dan nelayan yang mencapai kejayaan.

BINCANG …. Hajiji berbincang Ruslan Muharam ketika menerima kunjungan hormat di Menara Kinabalu.






