Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Polis memohon kerjasama orang ramai bagi membantu mengesan dua individu yang dilaporkan hilang dalam dua kejadian berasingan di Kota Kinabalu dan Keningau.
Kes pertama melibatkan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun, Muhammad Muaz Furqan Hashrul, yang dilaporkan hilang selepas tidak ditemui ketika ibunya cuba menjemputnya di sekolah.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, kehilangan remaja berkenaan disedari kira-kira jam 1.30 tengah hari apabila ibunya mendapati mangsa tidak berada di kawasan sekolah.
Katanya, usaha mencari mangsa di sekitar Inanam serta mendapatkan maklumat daripada rakan-rakannya telah dilakukan, namun mangsa masih belum ditemui.
“Muhammad Muaz Furqan merupakan pelajar SMK Kolombong dan menetap di kawasan City Apartment, Jalan Kionsom, Inanam.
“Mangsa mempunyai ciri-ciri fizikal berkulit hitam manis, berbentuk muka bulat, berkening tebal, bermata dan berbibir kecil serta mempunyai rambut pendek berwarna hitam. Pakaian terakhir yang dipakainya ialah pakaian seragam sekolah,” katanya.
Sehubungan itu, Shahrudin meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan atau penemuan remaja berkenaan untuk menghubungi Pegawai Penyiasat (AIO), Sarjan Mejar DK Rosmah Pg Hashim, di talian 011-3167 7612, atau Hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088-221 191.
“Maklumat juga boleh disalurkan kepada Balai Polis Inanam, IPD Kota Kinabalu atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Orang ramai dinasihatkan agar menyalurkan maklumat terus kepada pihak polis dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan,” katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 39 tahun turut dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah pada 17 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan lelaki berkenaan kira-kira jam 9.12 pagi, semalam.
Katanya, laporan dibuat selepas mangsa yang dikenali sebagai Bonny Subrony Kasiamus disedari masih belum pulang ke rumah dan tidak dapat dihubungi sehingga kini.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan keberadaan lelaki berkenaan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Haniff Omar Bak, di talian 012-684 1917, atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Bonny Subrony Kasiamus dilaporkan hilang sejak 17 Ogos lalu.

Muhammad Muaz Furqan merupakan pelajar SMK Kolombong yang disedari hilang ketika dijemput di sekolahnya.






