Penduduk Koromoko desak tanah dikeluarkan dari kawasan syarikat

KOTA MARUDU: Penduduk Kampung Koromoko sekali lagi mendesak kerajaan campur tangan bagi mengeluarkan tanah yang diduduki mereka daripada kawasan milik syarikat Begaraya dan Tadahan Air Ulu Bengkoka.
Pengerusi Komiti Badan Bertindak Kampung Koromoko, Masidar Landai, berkata permohonan berhubung perkara itu sudah dikemukakan sejak 1997, namun pelbagai usaha termasuk menghantar surat kepada pihak berkenaan masih belum membuahkan hasil.
Beliau berkata, tindakan segera kerajaan diperlukan bagi membolehkan tanah berkenaan diukur melalui program pengukuran tanah adat negeri (PANTAS) sebelum dibahagikan secara adil kepada penduduk.
“Perjuangan ini bukan sekadar isu pemilikan tanah, tetapi berkait rapat dengan keadilan sosial, ekonomi komuniti dan kelangsungan hidup penduduk kampung.
“Kami tidak pernah berhenti memperjuangkan hak penduduk yang sudah menduduki kawasan ini secara turun-temurun. Harapan kami agar kerajaan mendengar suara rakyat dan memberi peluang kepada mereka mengusahakan tanah sendiri,” katanya.
Menurut Masidar, keadaan ketika ini menimbulkan kebimbangan kerana penduduk tidak dapat mengusahakan tanah yang sudah lama mereka diami, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan dan pembangunan komuniti.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mempersoalkan tindakan sebuah syarikat yang didakwa tidak membayar pampasan selepas lebih 30 pokok kelapa sawit miliknya musnah akibat kerja menggali mangan dan mineral lain di atas tanah PT 97221217 seluas 50 ekar pada 7 Ogos 2024.
Masidar berkata, beliau sudah menghubungi pihak syarikat untuk berbincang, namun dakwanya, permintaan itu tidak mendapat maklum balas.
Menurutnya, kerja berkenaan dihentikan dan tapak ditinggalkan pada Oktober 2024 tanpa bayaran pampasan atau makluman kepada penduduk.
“Saya kesal kerana pihak syarikat tidak menghormati hak penduduk,” katanya.
Beliau pada masa sama menasihatkan penduduk kampung supaya tidak menjual tanah kepada pihak luar kerana bimbang tindakan itu merugikan komuniti pada masa depan.
“Ada saya lihat orang merintis dan meletakkan tanda cat untuk tujuan menjual tanah mereka. Saya harap penduduk tidak menjual tanah kerana akhirnya kita sendiri yang rugi,” katanya.

MINTA PERTANGGUNGJAWABAN… Masidar menunjukkan tanah miliknya yang terlibat dalam kerja cari gali mineral.