JKOM rapat jurang komunikasi kerajaan, rakyat

PUTATAN: Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) mempergiat usaha memperkukuh hubungan komunikasi antara kerajaan dengan rakyat melalui pelaksanaan sesi perbincangan kumpulan fokus bersama pengamal media di seluruh negara.
Ketua Pengarahnya, Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, pendekatan itu menjadi mekanisme semak dan imbang bagi mendapatkan data primer secara langsung daripada peringkat akar umbi.
Katanya, maklumat yang diperoleh daripada pengamal media dan rakyat pelbagai kaum, termasuk golongan berpendapatan rendah, akan disalurkan terus kepada kerajaan untuk tindakan sewajarnya.
“Kaedah ini dilaksanakan untuk mendapatkan maklumat secara langsung daripada rakan media dan rakyat pelbagai kaum, termasuk golongan miskin, untuk dibawa terus kepada pihak kerajaan.
“Hasil perbincangan bersama rakan media Sabah mengenal pasti lima isu utama iaitu dasar kabotaj dan kenaikan harga barang, bekalan air, infrastruktur jalan raya, kuota diesel serta harga tiket penerbangan,” katanya pada sesi bersama rakan media Sabah, di sini.
Beliau berkata, JKOM memberikan keutamaan kepada isu berkaitan kehidupan rakyat yang dibangkitkan dalam perbincangan itu, termasuk kos sara hidup, perbelanjaan makanan, kelangsungan keluarga, persekolahan serta akses kepada perkhidmatan kesihatan dan pendidikan yang mencukupi.
Mohd Hisyamuddin berkata, semua isu berkenaan sedang dirumuskan dalam bentuk laporan bertulis untuk disampaikan kepada pimpinan tertinggi kerajaan bagi membolehkan tindakan susulan dilaksanakan segera.
“Kerajaan sentiasa peka dan prihatin dalam menyelesaikan masalah asas berkenaan demi memastikan kesejahteraan masyarakat sentiasa terbela,” katanya.
Beliau berkata, program secara bersemuka itu akan diteruskan secara berperingkat di seluruh negeri bagi memastikan suara dan maklum balas komuniti setempat dapat disalurkan dengan lebih berkesan.

MENJELASKAN …. Mohd Hisyamuddin (kanan) ketika sesi ramah mesra bersama pengamal media.