Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Usia bukan penghalang bagi seseorang untuk terus bergiat dalam bidang seni persembahan, kata mantan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Christina Liew.
Beliau berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi contoh Lucia Wong Lup Kin, 92, yang masih aktif sebagai anggota Kumpulan Tarian Ivy, yang baru-baru ini meraikan ulang tahun ke-20 penubuhannya.
Pengerusi Shangri-La Tanjung Aru itu berkata, sambutan bertemakan ’20 Years of Dance, Dreams & Dedication’ diadakan di Putera Ballroom, malam Sabtu, dan dihadiri kira-kira 350 tetamu.
“Setahu saya, guru bersara ini kekal cergas melalui aktiviti tarian bersama Kumpulan Tarian Ivy, sama ada tarian ballroom mahupun persembahan tarian kebudayaan.
“Jadikan Lucia sebagai contoh bahawa usia bukan penghalang untuk seseorang meneruskan hobi atau mengejar cita-cita,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Christina turut memuji tenaga pengajar tarian, Ivy Kok, kerana meneruskan legasi kumpulan berkenaan serta memartabatkan keindahan dan kepelbagaian warisan budaya masyarakat majmuk Sabah menerusi seni tari.
Katanya, sejak ditubuhkan, Kumpulan Tarian Ivy kekal komited memelihara dan mempromosikan kebudayaan etnik tradisional serta seni persembahan, selain memberi tumpuan kepada pendidikan tarian etnik secara profesional dan persembahan pentas.
“Sepanjang dua dekad lalu, kumpulan ini melahirkan ramai penari berbakat yang melalui kemahiran tarian, latihan intensif dan pengalaman persembahan pentas yang luas, mendapat pengiktirafan serta penghargaan daripada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.
Menurutnya, kumpulan itu turut mencatat kejayaan membanggakan dengan memenangi pelbagai pertandingan tarian, selain menerima jemputan daripada Biro Kebudayaan Perbandaran Beijing untuk menyertai persembahan pertukaran budaya dan kesenian di Beijing.
Katanya, penyertaan itu memberi peluang kepada anggota kumpulan mempelajari serta bertukar pengalaman dengan kumpulan tarian antarabangsa, sekali gus menyumbang kepada pemeliharaan dan perkembangan kebudayaan etnik Cina.
Di peringkat tempatan, beliau berkata, Kumpulan Tarian Ivy turut membuat persembahan dalam pelbagai acara anjuran persatuan masyarakat, agensi kerajaan serta sambutan rasmi di Malaysia Timur dan Malaysia Barat, selain festival kebudayaan dan acara utama lain.
“Saya percaya kumpulan ini akan terus berpegang kepada misi asalnya, menggunakan seni tari untuk menyampaikan budaya dan seni, menghubungkan masyarakat di seluruh dunia serta menyumbang lebih banyak kepada pembangunan dan promosi seni budaya etnik,” katanya.
Terdahulu, Ivy dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada tetamu kehormat atas sokongan berterusan terhadap Kumpulan Tarian Ivy.

KENANGAN …. Christina (tujuh kiri) bersama Ivy, Lucia (tujuh kanan) dan anggota Kumpulan Tarian Ivy merakamkan gambar kenangan.







