Pertandingan Persembahan Igal-Igal meriahkan pentas budaya Semporna

SEMPORNA: Tradisi seni tari warisan masyarakat Bajau bakal kembali mewarnai pentas budaya menerusi Pertandingan Persembahan Igal-Igal yang akan berlangsung pada 20 dan 21 Jun 2026 di Pasar Tamu Malam Atok Ukung, Semporna.
Program anjuran Atok Ukung dengan sokongan Taman-Taman Sabah itu dijadual berlangsung dari 7.30 malam hingga 11.30 malam dan dijangka menarik kehadiran pengunjung tempatan serta pelancong.
Pertandingan tersebut dianjurkan bagi memperkukuh identiti budaya masyarakat setempat di samping menyediakan platform kepada generasi muda untuk mengetengahkan bakat dalam seni tari tradisional.
Tarian Igal-Igal yang terkenal dengan kelembutan gerak tari serta alunan muzik tradisional bukan sahaja menjadi hiburan, malah melambangkan kekayaan warisan dan jati diri masyarakat Bajau yang perlu terus dipelihara.
Menurut penganjur, Julkalani Haji Abd Rahman, penganjuran program itu turut mendapat sokongan padu daripada komuniti setempat serta badan-badan kebudayaan, sekali gus mencerminkan semangat kerjasama dalam usaha memartabatkan warisan budaya.
“Kami mahu memastikan seni Igal-Igal terus subur dan dikenali bukan sahaja di Sabah, malah di peringkat nasional,” katanya.
Selain menyaksikan pertandingan, pengunjung juga berpeluang menikmati suasana meriah Pasar Tamu Malam Atok Ukung yang menjadi lokasi tumpuan masyarakat setempat.
Kehadiran para peserta yang mengenakan busana tradisional berwarna-warni dijangka menambah seri acara, sekali gus memperkukuh imej Semporna sebagai destinasi pelancongan berasaskan budaya.
Penganjur berharap pertandingan itu dapat menjadi platform untuk mempererat perpaduan masyarakat melalui seni budaya, selain memastikan warisan tarian Igal-Igal terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang.

Julkalani Haji Abd Rahman