KPDN AMBIL TINDAKAN TEGAS TERHADAP PENIAGA KENAKAN CAJ TAMBAHAN, TERSEMBUNYI

Oleh JOHN TAMBANAN
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memandang serius amalan peniaga mengenakan caj tambahan atau caj tersembunyi yang hanya dimaklumkan kepada pengguna pada peringkat akhir transaksi sehingga menyebabkan harga sebenar melebihi harga yang dipaparkan atau diiklankan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, amalan itu bukan sahaja mengelirukan, malah menjejaskan hak pengguna untuk mengetahui harga sebenar serta membuat keputusan pembelian secara telus dan bermaklumat.
“Sehubungan itu, tindakan boleh diambil melalui Seksyen 10B(1), Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] di bawah seliaan KPDN,” katanya ketika menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Selasa.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Mersing, Haji Muhammad Islahuddin mengenai tindakan KPDN membendung amalan mengenakan caj tambahan atau tersembunyi yang hanya dimaklumkan pada peringkat akhir transaksi, khususnya dalam sektor perkhidmatan, makanan dan minuman serta urus niaga dalam talian.
Armizan berkata, peruntukan berkenaan menetapkan bahawa mana-mana pihak yang mempamerkan, mengiklankan, menyiarkan atau menyebut harga barangan atau caj perkhidmatan hendaklah memasukkan semua cukai, duti, cukai kerajaan dan apa-apa caj lain yang dikenakan dalam harga yang dipaparkan.
“Ini bermakna pengguna hendaklah dapat melihat harga sebenar yang perlu dibayar dan bukannya hanya mengetahui kewujudan caj tertentu pada peringkat akhir transaksi,” katanya.
Menurutnya, prinsip itu turut diperkukuh menerusi Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Harga Terangkum, khususnya bagi sektor makanan dan minuman serta transaksi e-dagang dan penghantaran.
Garis panduan itu menghendaki harga akhir yang dipaparkan mengambil kira semua komponen termasuk harga asas, caj perkhidmatan dan caj penghantaran sebelum pengguna mengesahkan tempahan.
Katanya, sekiranya berlaku pelanggaran Seksyen 10B Akta 723, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 57 akta sama.
Bagi kesalahan melibatkan pertubuhan perbadanan, penalti boleh dikenakan dalam bentuk denda sehingga RM100,000, manakala individu boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Selain Akta 723, Armizan berkata, KPDN turut mempunyai kuasa penguatkuasaan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599].
Menurutnya, Seksyen 12(1)(a) akta berkenaan memperuntukkan bahawa menjadi suatu kesalahan sekiranya peniaga memberikan gambaran mengelirukan kepada pengguna berhubung harga sesuatu barangan atau perkhidmatan.
Katanya, Seksyen 12(3)(c) pula secara khusus memperuntukkan bahawa sesuatu gambaran mengenai harga dianggap mengelirukan sekiranya harga yang dipaparkan memberikan tanggapan bahawa ia merangkumi semua perkara, sedangkan terdapat caj tambahan yang dikenakan secara berasingan.
Selain itu, Seksyen 9 dan 10 akta sama turut melarang perlakuan atau representasi palsu dan mengelirukan berkaitan sifat serta ciri sesuatu barangan atau perkhidmatan.
“Peruntukan ini bukan sahaja meliputi transaksi di premis fizikal, tetapi turut terpakai kepada urus niaga perdagangan secara elektronik.
“Mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan berkaitan boleh dikenakan penalti di bawah Seksyen 145 Akta 599,” katanya.
Bagi kesalahan oleh pertubuhan perbadanan, denda sehingga RM100,000 boleh dikenakan, manakala individu boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Armizan berkata, bagi memastikan pengguna mendapat maklumat harga yang jelas di premis perniagaan dan penyedia perkhidmatan, kementerian turut menguatkuasakan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020.
Di bawah perintah itu, penyedia perkhidmatan dan premis perniagaan diwajibkan mempamerkan senarai perkhidmatan serta caj yang dikenakan secara jelas dan mudah dilihat oleh pengguna.
Beliau berkata, KPDN akan terus melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan peniaga mematuhi peruntukan berkaitan penzahiran harga.
Pada masa sama, pengguna turut diseru supaya menyemak harga akhir sebelum membuat pembayaran serta menyalurkan aduan kepada KPDN sekiranya mengesan amalan caj tersembunyi atau percanggahan antara harga yang diiklankan dengan jumlah yang akhirnya dikenakan.

ARMIZAN MOHD ALI