Jika diberi mandat terajui PGRS Keningau
Oleh JOHN TAMBANAN
KENINGAU: Pembangunan sektor agro tani dan pelancongan akan menjadi keutamaan Dato’ Victor Peter Paut sekiranya beliau diberi mandat untuk menerajui Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian P.180 Keningau.
Victor berkata, Parlimen Keningau yang merangkumi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Tambunan, Liawan dan Bingkor, memiliki potensi besar dalam kedua-dua sektor berkenaan, namun memerlukan pendekatan baharu bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.
Dalam temu bual eksklusif, beliau yang kini menyandang jawatan Ketua Bahagian PGRS N.39 Tambunan berkata, kepimpinan yang berorientasikan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat perlu diperkasakan selaras dengan keperluan semasa.
Menurutnya, isu tuntutan hak Sabah termasuk tuntutan 40 peratus hasil bersih kini telah menjadi agenda rasmi Kerajaan Negeri dan wajar diteruskan melalui saluran yang sewajarnya.
“Pada masa sama, perhatian juga perlu diberikan kepada pembangunan mampan, peluang ekonomi dan kebajikan rakyat di daerah Keningau.
“Rakyat memerlukan penyelesaian terhadap isu kehidupan harian seperti peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan dan kemudahan ekonomi yang mampu meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.
Beliau berkata, sektor agro tani di Keningau mempunyai potensi besar untuk diperkembangkan kerana daerah itu kaya dengan hasil pertanian, namun kebanyakan pengusaha masih bergantung kepada pasaran tempatan.
Justeru, beliau berpandangan usaha memperluaskan pasaran sehingga ke peringkat nasional dan antarabangsa perlu diperkasakan melalui sokongan kerajaan serta kerjasama pelbagai agensi berkaitan.
Selain itu, Victor berkata, sektor pelancongan berasaskan alam semula jadi seperti sungai, air terjun dan kawasan tanah tinggi di Keningau perlu dipromosikan secara lebih agresif bagi menarik kehadiran pelancong.
Beliau turut mencadangkan supaya kemudahan inap desa (homestay) dinaik taraf, di samping mewujudkan garis panduan berkaitan kadar harga dan standard perkhidmatan bagi meningkatkan keyakinan pelancong.
Victor berkata, pengukuhan ekonomi tempatan akan meningkatkan kuasa beli masyarakat sekali gus memberi limpahan manfaat kepada peniaga, usahawan dan penyedia perkhidmatan.
Beliau turut menegaskan bahawa golongan belia perlu diberi lebih banyak peluang dalam bidang keusahawanan, automotif dan perniagaan agar mereka tidak perlu berhijrah ke luar daerah untuk mencari rezeki.
“Jika diberi mandat menerajui PGRS P.180 Keningau, saya akan terus memperjuangkan agenda pembangunan yang mampu menjadikan Keningau lebih maju, berdaya saing dan sejahtera demi manfaat seluruh rakyat,” katanya.

Foto: Victor Peter Paut.




-100x70.jpg)



