Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Ketua Umno Putatan, Jeffery Nor Mohamad, menyambut baik pelantikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, sebagai Pengerusi Tanjung Aru Eco Development (TAED), yang disifatkannya tepat pada masanya dan amat dinantikan.
Beliau berkata, sebagai rakyat di kawasan Parlimen Putatan yang merangkumi Tanjung Aru, pelantikan itu memberi isyarat positif terhadap masa depan pembangunan kawasan berkenaan.
“Kita mengalu-alukan pelantikan Ketua Menteri Sabah sebagai Pengerusi TAED. Sudah sampai masanya projek ini dilaksanakan dengan sebaik mungkin dan secara segera, memandangkan ia telah tertangguh agak lama,” katanya dalam satu kenyataan.
Jeffery turut menyatakan keyakinan bahawa pendekatan menang-menang dapat direalisasikan khususnya kepada penduduk Tanjung Aru.
“Ketua Menteri mempunyai keupayaan dan pengalaman untuk menjayakan projek ini. Kuasa eksekutif yang ada pada beliau, ditambah dengan keupayaan memahami kehendak sosial setempat, mampu memastikan isu-isu berkaitan pembangunan diselesaikan secara adil dan seimbang,” katanya.
Beliau berharap pembangunan projek TAED dapat dilaksanakan dengan terancang dan berkesan, seterusnya memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk Tanjung Aru, malah kepada rakyat Sabah secara keseluruhan.
Terdahulu, Hajiji dipetik sebagai berkata bahawa agenda pembangunan di kawasan Tanjung Aru akan diteruskan secara terancang dan mampan, dengan keutamaan diberikan kepada keseimbangan antara pembangunan bandar, kesejahteraan rakyat serta pemeliharaan alam sekitar, khususnya melibatkan penduduk Kota Kinabalu.

Jeffery Nor Mohamad


