Penemuan mayat mangsa kemalangan dalam parit

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA BELUD: Penemuan mayat seorang lelaki bersama sebuah motosikal di dalam parit di Jalan Kota Belud-Kota Marudu berhampiran Kampung Tambilaung, di sini, Selasa lalu, disahkan sebagai mangsa kemalangan jalan raya.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang berusia 41 tahun dipercayai hilang kawalan ketika menunggang motosikal dari arah Kota Marudu menuju Kota Belud.
Katanya, mangsa dipercayai terbabas ke bahu kiri jalan dan terjunam ke dalam parit sebelum ditemui orang awam pada jam 12.45 tengah hari.
“Ketika ditemui, mangsa berada dalam keadaan terlentang bersama motosikal di dalam parit yang dipenuhi air dan sudah mengalami pereputan.
“Mayat mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.
Menurutnya, siasatan lanjut sedang giat dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, Shahrudin meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil bagi membantu siasatan.
“Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Chris Isaac anak Rechi di talian 088-976600 sambungan 225 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

DITEMUKAN ….. Mangsa ditemui dalam keadaan terlentang bersama motosikal di dalam parit yang dipenuhi air.