TAWAU: Lebih tiga juta rakyat Sabah menaruh harapan agar kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negeri ini esok membawa perkembangan positif berhubung tuntutan hak Sabah, khususnya pelaksanaan pemberian khas 40 peratus daripada hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari negeri ini.
Aktivis sosial Sabah, Mohd Zaki Harry Susanto, berkata Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan Anwar di Sabah International Convention Centre (SICC) menjadi tumpuan kerana rakyat mahu melihat hala tuju lebih jelas mengenai tuntutan berkenaan.
Katanya, isu pemberian khas 40 peratus bukan sekadar perdebatan politik, sebaliknya membabitkan hak Sabah yang perlu diterjemahkan kepada penyelesaian memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Apabila PMX sendiri hadir ke Sabah untuk mempengerusikan mesyuarat berkaitan pelaksanaan MA63, sudah tentu rakyat meletakkan harapan tinggi.
“Rakyat mahu melihat perkembangan lebih jelas dan meyakinkan, terutama isu pemberian khas 40 peratus. Ini antara perkara paling besar yang dinantikan rakyat Sabah,” katanya.
Mohd Zaki berkata, penyelesaian isu kewangan Sabah penting kerana berkait rapat dengan keupayaan kerajaan negeri mempercepat pembangunan serta menangani masalah bekalan air, elektrik, jalan raya, kesihatan, pendidikan dan pembangunan luar bandar.
Bagaimanapun, beliau menyeru rakyat memberi ruang kepada Anwar meneruskan usaha menyelesaikan isu MA63 tanpa tekanan atau sentimen yang boleh menjejaskan proses rundingan.
Menurutnya, antara perkembangan positif ialah peningkatan pemberian khas kepada Sabah daripada lebih RM100 juta sebelum ini kepada RM1.5 bilion di bawah pentadbiran Persekutuan pimpinan Anwar.
“Adakah RM1.5 bilion sudah mencukupi? Pada pandangan saya, belum. Sabah berhak mengharapkan jumlah lebih besar. Namun, peningkatan itu tetap satu perubahan besar,” katanya.
Beliau turut memuji pendekatan kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, yang disifatkannya matang dan strategik dalam mengurus hubungan dengan kerajaan Persekutuan.
Mohd Zaki berharap mesyuarat itu menjadi titik penting ke arah penyelesaian tuntutan Sabah.
“Rakyat Sabah mahu hak mereka dihormati, tuntutan dilaksanakan dan pembangunan dipercepatkan. Kita berharap PMX membawa berita baik, khususnya langkah lebih jelas ke arah merealisasikan pemberian khas 40 peratus,” katanya.-JT

Foto: Mohd Zaki Harry Susanto



