Pegawai kanan agensi kerajaan ditahan disyaki kemuka tuntutan palsu RM15,000

Oleh JAMES LEONG


SANDAKAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai kanan sebuah agensi kerajaan negeri kerana disyaki mengemukakan dua dokumen mengandungi maklumat palsu bagi menyokong tuntutan berjumlah kira-kira RM15,000.
Wanita berusia 30-an itu ditahan kira-kira 10 pagi Selasa selepas hadir ke pejabat SPRM untuk memberikan keterangan.
Siasatan awal mendapati wanita berkenaan disyaki mengemukakan dokumen terbabit bagi tuntutan perbelanjaan mesyuarat serta perbelanjaan berkaitan lawatan kerja rasmi seorang pegawai kanan kementerian.
Kesalahan itu dipercayai berlaku antara 2023 hingga 2024.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, mengesahkan penahanan berkenaan dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Suspek dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen (Khas Rasuah) Sandakan pada 8 Oktober 2026.