KOTA KINABALU: Kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir perlu menjadi titik perubahan kepada negara dalam menangani isu buli yang semakin membimbangkan, tegas Timbalan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), Datuk Donald Peter Mojuntin.
Beliau berkata, kes-kes buli di sekolah tidak lagi boleh dipandang ringan kerana statistik menunjukkan situasi yang membimbangkan.
Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2017, sebanyak 16.2 peratus pelajar menengah Tingkatan 1 hingga 5 menjadi mangsa buli dalam tempoh 30 hari.
Kajian kebangsaan pada 2022 yang melibatkan 4,469 pelajar mendapati 79.1 peratus terlibat dalam buli sama ada sebagai pembuli (14.4 peratus), mangsa (16.3 peratus) atau kedua-duanya (48.4 peratus).
Malah, kes dilaporkan meningkat mendadak daripada 3,887 kes pada 2022 kepada 5,891 kes pada 2023, dan sehingga Oktober 2024, jumlah pelajar terlibat mencecah 11,594 orang.
“Kita masih ingat beberapa insiden ngeri sebelum ini. Selain kes Zara, ada pelajar Tingkatan 1 dikurung di tandas sekolah di Kedah, serta pelajar Tingkatan 3 cedera parah di mata akibat dipukul,” katanya.
Donald berkata, buli tidak hanya berlaku di bilik darjah atau padang sekolah, malah kes buli siber juga meningkat. NHMS 2017 menunjukkan 13.3 peratus pelajar menjadi mangsa buli di platform digital.
Kesan buli, katanya, amat serius termasuk kemurungan, kebimbangan melampau, gangguan tidur, hilang selera makan, dan yang paling membimbangkan — risiko cubaan bunuh diri adalah 4.8 kali ganda lebih tinggi dalam kalangan mangsa buli, berdasarkan kajian melibatkan 27,497 pelajar yang diterbitkan pada 2023 oleh International Journal of Environmental Research and Public Health.
Sehubungan itu, beliau menegaskan masalah buli mesti ditangani secara tegas melalui usaha bersama keluarga, sekolah, komuniti dan kerajaan, termasuk memperkukuh pelaksanaan program BEST (Bantu, Empati, Sayang, Tanggungjawab) oleh Kementerian Pendidikan.
Dalam masa sama, Donald mengingatkan bahawa bedah siasat dalam kes kematian mengejut atau mencurigakan adalah kewajipan di bawah Seksyen 329 dan 331 Kanun Tatacara Jenayah, termasuk kes bunuh, bunuh diri, kemalangan mencurigakan, kematian dalam tahanan, dan lain-lain kes yang ditetapkan undang-undang.
“Kes Zara jelas berada dalam kategori ini. Jika prosedur siasatan dipatuhi, isu menggali semula kubur untuk siasatan tambahan tidak akan timbul, sekali gus tidak menambah penderitaan keluarga,” katanya.
Beliau menyambut baik keputusan Jabatan Peguam Negara mengarahkan siasatan penuh melalui inkues, bagi memastikan keluarga memperoleh jawapan yang jelas dan, jika tiada unsur salah laku, mereka sekurang-kurangnya mendapat ketenangan.
“Kes Zara mesti menjadi titik tolak. Sebagai masyarakat bertamadun, kita tidak boleh hanya bersuara, tetapi mesti bertindak tegas dan proaktif,” katanya.






